Pemandu Lori Dihukum Penjara 12 Bulan Kerana Buli Siber Mendiang Esha | Oh! Media

Pemandu Lori Dihukum Penjara 12 Bulan Kerana Buli Siber Mendiang Esha | Oh! Media

Seorang pemandu lori, B Sathiskumar, 40, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membuat hantaran lucah dan mengaibkan ibu kepada pempengaruh TikTok, mendiang Esha atau Rajeswary, empat bulan lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman penjara 12 bulan itu dijalankan serentak bermula dari tarikh tangkapan, iaitu 10 Julai. Tertuduh mengaku bersalah dan memohon maaf kepada mahkamah.

Saya bersalah, saya tidak akan buat lagi, minta ampun puan (Hakim).- Katanya dalam kandang tertuduh.

Hantaran lucah dan ugutan di TikTok…

Sathiskumar dituduh menggunakan akaun TikTok ‘@dulal_brothers_360’ untuk membuat hantaran lucah dan ancaman terhadap Rajeswary pada 30 Jun lalu.

Malah, dia turut mengeluarkan fitnah serta ancaman rogol dan bunuh kepada mangsa. Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mangsa ditemui meninggal dunia…

Rajeswary dilaporkan menggantung diri sehari selepas membuat laporan polis tentang ugutan yang diterimanya daripada tertuduh.

Pegawai penyiasat yang cuba menghubungi dan mengesan mangsa sebelum itu tidak berjaya.

Permohonan hukuman penjara…

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman, memohon hukuman penjara kerana kesalahan tertuduh yang disifatkan sebagai sangat serius, terutama kerana ia melibatkan ugutan yang membawa kepada kematian mangsa.

Penggunaan perkataan lucah di media sosial boleh membawa hukuman berat selaras dengan undang-undang.- Katanya.

Namun, peguam tertuduh, Muhamad Izwan Ishak, merayu hukuman minimum kerana anak guamnya menanggung isteri kurang upaya dan tiga anak.


Scroll to Top