Bekalan makanan global diamcam gabungan 3 faktor – Laporan

Moscow: Gabungan tiga faktor kini mengancam bekalan makanan global, menurut New York Times yang memetik Profesor Universiti Guelph Evan Fraser, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Akhbar itu melaporkan konflik menjejaskan penghantaran bekalan makanan termasuk bijirin, manakala perubahan iklim memburukkan keadaan apabila paras air di laluan perkapalan utama semakin rendah.

Selain itu, cuaca panas dan kemarau turut menjejaskan hasil tuaian di negara pengeluar tanaman utama.

“Sistem yang kita gunakan sekarang bergantung pada tiga perkara iaitu perdagangan yang lancar, tenaga murah dan iklim stabil.

“Hari ini, nampaknya tiada satu pun daripada andaian itu dapat dipenuhi,” kata Fraser.

Menurut akhbar itu, Amerika Syarikat (AS) dijangka mencatatkan hasil tuaian gandum terburuk sejak 1970 akibat kemarau.

Australia, yang juga antara pembekal utama bijirin, mengurangkan keluasan tanaman gandum berikutan harga baja yang tinggi, manakala Perancis dan Jerman menjangkakan hasil tuaian merosot akibat cuaca panas luar biasa.

Bagaimanapun, stok gandum hasil tuaian yang baik pada tahun lepas ketika ini membantu mengurangkan tekanan terhadap harga global, menurut laporan itu.

Fraser berkata, sistem makanan yang digunakan sejak sekian lama tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa dan perlu dinilai semula.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top