Hos, calon Top 20 ABPBH 36 meriahkan KJH Pulau Pinang

Hos, calon Top 20 ABPBH 36 meriahkan KJH Pulau Pinang

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bahang kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 makin dirasai apabila calon Top 20 menyertai Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang yang berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, mulai Jumaat hingga Ahad ini.

Mereka akan berlepas dari Balai Berita, Bangsar, Jumaat ini, menuju Pulau Pinang menaiki kenderaan Suzuki Jimmy yang mendapat kerjasama logistik daripada Syarikat Naza Eastern Motors Sdn Bhd yang membekalkan enam buah kereta terbabit.

Konvoi ABPBH 36 ke KJH Pulau Pinang juga mendapat kerjasama PERSADA PLUS yang akan memantau dan melancarkan perjalanan kenderaan sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Pulau Pinang.

Acara pelepasan konvoi dijangka disempurnakan oleh Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, yang akan turut sama menyertai konvoi ini.

Pengarah ABPBH 36 merangkap Pengarang Berita Kanan Hiburan/Projek BH, Shamshul Azree Samshir berkata, rombongan konvoi dijadual singgah di Hentian Rawat dan Rehat (R&R), Sungai Perak untuk mempromosikan Malam Kemuncak ABPBH 36 dan memberi peluang kepada pengguna lebuh raya bertemu artis pujaan mereka.

“Kami turut mengatur program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengunjungi seniman era 1960-an, iaitu penyanyi lagu Marilah Mengundi, Rocky Din di kediamannya di Bagan Belat, Teluk Air Tawar, Butterworth dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada artis veteran itu.

“Ketibaan konvoi di KJH Pulau Pinang akan disambut persembahan seni boria warisan tempatan, Kumpulan Boria Omara,” katanya.

Tambahnya pada KJH Pulau Pinang, ABPBH 36 tampil dengan reruai tersendiri yang memberi peluang kepada pengunjung terutama peminat untuk bertemu dengan artis popular tanah air sambil beramah-mesra, bergambar dan menyertai aktiviti permainan yang disediakan selain berpeluang mendapatkan pelbagai barangan eksklusif ABPBH 36.

“Program ABPBH 36 di Stadium Batu Kawan dijangka disertai calon Top 20 termasuk hos utama. Seramai 18 calon ABPBH 36, yang menggabungkan artis lama dan baharu bakal memeriahkan acara, termasuk salah seorang hos utama malam kemuncak ABPBH 36, iaitu artis versatil, Didie Alias.

“Antara artis dan selebriti yang menyertai program ABPBH 36 di KJH Pulau Pinang adalah trio kumpulan Senario iaitu Yassin, Saiful Apek dan Lan Pet Pet, Haiza, Ernie Zakri, Nabila Razali, Khai Bahar, Sweet Qismina, Bella Astilah dan Ara Johari.

“Begitu juga artis baharu seperti Trisha Ooi, Fieya Julia, Shah Randhy, Tika Nasir, Putera Muhammad dan Hasif Upin. Program ABPBH 36 di KJH Pulau Pinang turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran dan persembahan istimewa kumpulan The Gadys,” katanya.

Menurut Shamshul Azree lagi, pengunjung berpeluang mengetengahkan bakat ‘terpendam’ dengan menyertai pertandingan nyanyian ‘Bintang Idola BH’ di reruai ABPBH 36.

Katanya, BH berbangga ABPBH masih menjadi antara program hiburan ikonik yang masih bertahan dan diminati di Malaysia.

Bertemakan Teguh, ABPBH 36 yang diinspirasikan oleh CONBOO sebagai Penaja Utama, akan disiarkan secara langsung di TV3 dan strim melalui Tonton dari Auditorium MBSA, Shah Alam jam 9 malam, pada 11 Oktober ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top