am@hmetro.com.my
Seremban: Semua sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris bagi 55 rakyat Malaysia dilaporkan belum dapat dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal sudah diperoleh.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sampel berkenaan akan dihantar ke negara berkenaan dalam tempoh terdekat bagi membuat padanan.
“Kita baru selesai mengambil DNA daripada semua keluarga terdekat mangsa dan sampel ini akan dihantar ke Nepal untuk membuat padanan, namun disebabkan ramai yang menjadi mangsa, ia memerlukan masa yang panjang untuk dapat membuat padanan.
“Jika perlu, kita berkemungkinan akan menghantar pakar dari Jabatan Kimia untuk membantu pihak berkuasa Nepal dalam mengenal pasti dan membuat padanan DNA, sekali gus mempercepat lagi proses padanan yang diambil daripada keluarga terdekat.
“Negara lain juga dilaporkan akan turut menghantar pakar DNA masing-masing untuk mempercepat proses padanan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang 2026 anjuran UMNO dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pinggiran Senawang, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) Malaysia, Mohamad berkata, pasukan itu yang dilengkapi dengan beberapa peralatan termasuk lima dron berkapasiti tinggi, sumbangan antaranya oleh Proton dan Petronas.
“Mereka akan membantu pihak berkuasa Nepal untuk mengesan jika ada mangsa-mangsa yang terselamat terutama di kawasan yang sukar dijejaki secara manual.
“Lokasi tragedi adalah panjang dan luas dari Tibet merentasi Nepal sehingga menghampiri India, ia punca cerun dan lurah memang berbahaya, jadi menggunakan dron adalah salah satu cara untuk kita mempermudahkan atau boleh membantu dalam usaha mencari serta menyelamat mangsa,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, setakat ini, pihak berkuasa Nepal memberikan bantuan dan kerjasama yang baik kepada Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
“Saya menerima laporan harian daripada pihak di sana (Kuasa Usaha) kita setiap hari mengenai perkembangannya, jadi kita mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Nepal terutama rakan sejawat saya, Shisir Khanal.
“Beliau memberikan kebenaran untuk pasukan SMART kita membantu kerana ramai rakyat kita yang terbabit,” katanya.
Mohamad turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa secara berkala mengenai perkembangan di Nepal.
Menurutnya, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang maklumat secara bebas kepada orang ramai kecuali hanya membabitkan kepada ahli keluarga mangsa yang berdaftar sebagai langkah menghormati pihak terbabit.
“Saya rasakan dalam masa terdekat operasi mencari dan menyelamat akan ditamatkan dan sekarang operasi hanyalah untuk memulihkan keadaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
