sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Keputusan seri berdepan kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC menyaksikan Terengganu FC (TFC) menempah laluan berliku untuk mengintai peluang ke peringkat separuh akhir saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara atau Piala Shopee musim pertama itu.
Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa terutama skuadnya mendahului pelawat 2-0 sebelum terikat 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, semalam.
Menurutnya, aksi bertenaga dipamerkan anak buahnya seharusnya mampu memberikan tiga mata pertama sekali gus mencerahkan peluang untuk muncul dua pasukan terbaik dalam Kumpulan A.
Bagaimanapun, beliau akui peluang pasukannya untuk melangkah ke separuh akhir belum tertutup rapat kerana masih berbaki tiga perlawanan lagi berdepan kelab Myanmar, Indonesia dan Thailand.
“Jika lihat aksi bertenaga diperagakan pemain, kami layak mendapat lebih daripada satu mata. Kami bermain dengan baik dan mendahului dua gol dalam masa 45 minit pertama dengan mendominasi permainan biarpun dalam cuaca hujan.
“Tapi kerana satu kesilapan tidak disengajakan, kami kehilangan tiga mata berharga. Pada masa sama saya lihat kami juga menghadapi masalah dengan situasi ‘set piece’ dan ini bukan kali pertama kami melakukan kesilapan itu sebaliknya ianya berulang selain beberapa kesilapan individu.
“Bagaimanapun, secara keseluruhannya kami bermain dengan baik, biarpun kecewa saya tetap berpuas hati mengutip satu mata selain mengharapkan pemain bangkit dan tidak berputus asa serta memperbaiki kesilapan dalam perlawanan selepas ini,” ujarnya.
Pada perlawanan itu TFC mendahului menerusi jaringan Akhyar Rashid dan Manuel Ott sebelum lawan menyamakan kedudukan melalui jaringan Luiz Soares dan gol sendiri pertahanan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili.
Berdasarkan kedudukan terkini kumpulan daripada enam pasukan, TFC menghuni di tangga kedua tercorot dengan mengutip satu mata selepas dua perlawanan dengan kelab Vietnam itu mendahului carta dengan mengumpul empat mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




