'Sudah seminggu gangguan hilang, kami semakin lega'

'Sudah seminggu gangguan hilang, kami semakin lega'

am@hmetro.com.my

Tumpat: “Alhamdulillah sudah seminggu gangguan mistik yang dialami sejak sebulan lalu hilang dan kami tujuh beranak semakin lega,” kata Nur Aina Amalina Karim, dari Kampung Kutan Sungai, di sini.

Menurutnya, sepanjang sebulan sejak 25 Mei lalu, segala ikhtiar mereka sekeluarga lakukan termasuk berhabis wang ringgit untuk puluhan pengamal perubatan yang tampil cuba membantu.

Katanya, tidak cukup dengan itu, pelbagai kecaman diterima menerusi media sosial yang menuduh mereka sengaja mengada-adakan cerita dan video yang dipaparkan adalah disunting.

“Untuk apa kami mereka-reka cerita yang tidak membawa manfaat? Bukannya kami membuat siaran langsung pun malah video yang diambil adalah untuk ditunjuk kepada ustaz atau pengamal perubatan bagi memberi gambaran sebenar.

“Macam-macam kecaman yang diterima sedangkan hanya kami yang tahu bagaimana ketakutan yang dialami apabila setiap hari tanpa mengira siang atau malam.

“Alhamdulillah, sudah seminggu tiada lagi gangguan mistik itu dan kami tidak pasti disebabkan ikhtiar ustaz atau pengamal perubatan mana tapi semuanya berlaku dengan izin Allah SWT,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Nur Aina berharap orang ramai tidak terus mengecam mereka dan memohon agar memadamkan semua hantaran mereka sebelum ini kerana keadaan sudah kembali tenang.

Media sebelum ini melaporkan mereka tujuh beranak menerima gangguan mistik apabila terdengar macam-macam bunyi termasuk orang mengilai, menangis, menjerit serta suara kanak-kanak malah semakin menakutkan apabila menjelma penampakan.

Nur Aina berkata, penampakan yang ditunjukkan adalah cebisan kain putih di celah zink bumbung, sepasang tangan kehitaman dengan kuku yang panjang di bahagian dapur.

“Ada juga sekali ketika seorang ustaz datang dan ketika sesi berubat, suami ke dapur untuk mengambil air yang diminta dan pada waktu itu lah dia ternampak wajah buruk dengan rambut menggerbang namun hanya sekilas sebelum suami terus lari.

“Pelbagai bentuk gangguan mistik yang dialami ini menjadikan kami tertekan, tidak cukup tidur kerana menjelang malam sahaja, gangguan semakin kerap terutama bunyi tangisan bertali arus.

“Empat anak masih bersekolah dan mereka kerap tidur di sekolah kerana tidak cukup tidur disebabkan terganggu dengan pelbagai bunyian di malam hari sehingga menimbulkan ketakutan,” katanya.

Nur Aina berkata, selepas hantaran yang dibuat oleh anak saudara mengenai gangguan mistik itu dan meminta bantuan mana-mana pengamal perubatan Islam tampil, setiap hari mereka menerima panggilan telefon malah kediamannya juga dikunjungi orang ramai.

Katanya lagi, ada yang betul-betul ingin membantu tapi tidak kurang juga yang mengambil kesempatan terutama mereka yang kononnya boleh menghalau gangguan itu.

“Wang simpanan kami sudah habis hampir RM2,000 dibayar kepada puluhan pengamal perubatan dan ustaz dan kaedah yang digunakan sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

“Bermacam-macam maklum balas yang diterima dari pengamal perubatan antaranya makhluk halus itu hanya ingin menumpang, ada yang katanya terbawa pulang dari mana-mana tempat dan ada juga memberitahu saka.

“Kami tidak pedulikan semua itu sebab apa yang penting adalah ingin kembali tenang, kesian pada anak-anak yang trauma malah kami pun bukan orang senang yang mampu berhabis wang sehinggakan terpaksa catu perbelanjaan harian demi mengutamakan sesi ‘menghalau’ gangguan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top