Nepal nilai situasi sebelum putuskan tawaran bantuan SAR negara lain

Hyderabad: Nepal masih belum memutuskan sama ada akan menerima bantuan mencari dan menyelamat (SAR) daripada lebih banyak negara, sementara menunggu penilaian terhadap situasi susulan banjir yang melanda dan mengakibatkan kemusnahan besar di daerah Rasuwa.

Ketika bergelut menangani kemusnahan di wilayah tengah dan utaranya susulan banjir Sungai Bhote Koshi dan Trishuli pada Rabu, Nepal telah menerima bantuan SAR daripada Australia, China, India dan Korea Selatan.

Malaysia antara beberapa negara yang menawarkan bantuan kepada Nepal dalam operasi SAR yang sedang dijalankan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata Malaysia sedang menyelaras penghantaran bantuan ke Nepal, termasuk kemungkinan menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

“Mereka (Nepal) memaklumkan bahawa mereka akan menilai situasi sebelum menerima misi SAR daripada mana-mana negara lain,” kata Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu Mohd Firdaus Azman kepada Bernama pada Sabtu.

Nepal menerima bantuan SAR daripada empat negara yang mempunyai warganegara bekerja di kemudahan hidrokuasa yang terjejas akibat banjir.

Lebih 900 pekerja di 11 projek hidrokuasa, termasuk yang masih dalam pembinaan, terperangkap di dalam terowong dan loji janakuasa bawah tanah, menurut laporan media Nepal.

Media pada Sabtu melaporkan sekurang-kurangnya 633 orang di Nepal dan China terkorban dalam bencana yang melanda pada pagi Rabu, manakala hampir 3,000 lagi termasuk ratusan warga asing masih hilang.

Menurut Kementerian Luar Malaysia, 55 rakyat Malaysia di Nepal dan 36 di China masih dilaporkan tidak dapat dihubungi setakat 8 malam ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top