am@hmetro.com.my
Melaka: Lebih 15,000 umat Islam membanjiri Dataran 1Malaysia, Klebang di sini malam ini bagi menjayakan program Malam Melaka Berselawat yang dipimpin pendakwah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf.
Program penuh penghayatan itu berlangsung dalam suasana penuh kesyahduan apabila ribuan jemaah bersama-sama mengalunkan selawat dan puji-pujian kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, selain barisan Exco kerajaan negeri serta pemimpin masyarakat.
Kehadiran ribuan umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat menjadikan kawasan Dataran 1Malaysia sesak, dengan peserta turut memenuhi ruang sekitar lokasi bagi mengikuti program berkenaan.
Malam Melaka Berselawat diadakan sebagai pembuka tirai program sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, sekali gus menyemarakkan pengisian kerohanian dalam meraikan bulan kemerdekaan.
Program berkenaan turut menjadi wadah memperkukuh kecintaan umat Islam kepada Rasulullah SAW serta memperlihatkan kesepaduan masyarakat dalam mengimarahkan program keagamaan di negeri ini.
Ab Rauf dalam ucapannya, berkata Melaka Berselawat bukan sekadar sebuah program keagamaan tetapi membawa satu pengertian bahawa kemajuan yang dibina mesti mempunyai nilai, keamanan yang dinikmati mesti ada rasa syukur dan kebebasan yang diwarisi mesti dipelihara dengan penuh amanah.
Katanya, itulah semangat yang perlu terus dibawa menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MesRa).
“Kita mahu Melaka terus maju dan membangun, malah keamanan yang kita nikmati terus dipelihara, manakala rasa kasih sesama insan terus diperkukuh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

