mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan memperkenalkan sistem baharu membabitkan pemilihan atlet yang akan beraksi di Sukan Sea Thailand 2025.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, sistem berkenaan diperkenalkan dalam usaha untuk memastikan atlet yang layak dan terbaik saja akan dibawa ke temasya dwi tahunan itu.
Beliau berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan bersama persatuan sukan dan akan diumumkan sebaik saja ia selesai kelak.
“Minggu ini kita sudah jumpa persatuan sukan dan kita lihat lebih baik ada satu kelayakan kriteria untuk setiap sukan. Berbanding sebelum ini dimana kita menggunakan satu sistem kelayakan yang mana ada kategori A dan kategori B.
“Jadi kita nak setiap persatuan bincang balik dan dapatkan kriteria untuk sukan sea yang mereka rasakan terbaik dalam segi merit dan prestasi atlet. Jadi kita akan bawa perkara ini ke perbincangan jawatankuasa yang akan datang,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM kali ke 210 di Wisma MOM, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, Naziffuddin berpandangan sistem itu sebenarnya sudah digunakan oleh beberapa negara sukan membangun di Asia Tenggara seperti Singapura.
Malah katanya sistem itu juga dilihat lebih telus apabila pencapaian atlet akan diukur berdasarkan kejohanan semasa yang disertai oleh mereka beberapa bulan sebelum temasya dwitahunan itu.
“Macam sistem lama kita harapkan rekod yang lama contohnya mereka kena juara Sukan Sea, juara sukma, jadi rekod ini terlalu lama bukan terkini dan kita perlu pencapaian terkini.
“Bila ada kelayakan kriteria itu kita akan lihat kejohanan terdekat mereka sebelum Sukan Sea yang dipersetujui badan induk persatuan sukan dunia dan Asia.
“Jadinya, kita nak ke arah lebih telus dan juga teliti supaya atlet tahu pencapaian sendiri dan apa yang mereka kena hadapi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




