Terkini: Keputusan PRK Mahkota

Terkini: Keputusan PRK Mahkota

am@hmetro.com.my

9.00 malam: [RASMI] Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Dun Mahkota, Azurawati Wahid mengumumkan calon BN Syed Hussien Syed Abdullah memenangi pilihan raya itu dengan majoriti 20,648 undi.

Beliau yang meraih 27,995 undi menewaskan calon PN, Mohamad Haizan atau Coach Haizan yang memperoleh 7,347 undi.

Pengumuman keputusan rasmi itu dibuat selepas proses penjumlahan undi membabitkan 109 saluran selesai di Dewan Tunku Ibrahim Ismail.

8.00 malam: [Tidak Rasmi] Kluang: Semua 121 saluran selesai pengiraan dan calon BN Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh 27,941 undi, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau yang berkongsi di Facebook turut memaklumkan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar memperoleh 7,332 undi, ketinggalan dengan majoriti 20,609 undi.

Ia sekali gus menunjukkan BN menang bergaya dan berjaya mempertahankan kerusi Dun Mahkota.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Sharifah Azizah yang mewakili BN, menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.


7.50 malam: [Tidak Rasmi] Syed Hussien Syed Abdullah (BN) – 27,647 undi.

Mohamad Haizan Jaafar (PN) – 7,279 undi.

120 daripada 121 saluran selesai pengiraan undi.


7.30 malam: Kluang: Barisan Nasional (BN) secara tidak rasmi menang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota selepas memperoleh majoriti 17,673 undi.

Calon parti itu, Syed Hussien Syed Abdullah meraih 23,683 undi berbanding calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar yang memperoleh 6,010 undi hasil kiraan undi 121 saluran.

Timbalan Pengarah PRK Dun Mahkota BN, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan kemenangan itu sebagai suatu yang amat manis, hasil kerja keras dan kegigihan jentera BN dan Pakatan Harapan (PH)

“Majoriti setakat ini cukup besar dan menjadikan kita tawaduk dan semoga kemenangan ini menjadikan calon kita akan gigih membantu rakyat di kawasan Mahkota,” katanya di Command Centre BN di sini, sebentar tadi.

Ahmad turut berpantun, “Pergi Kluang cari berita, kisah minuman kopi muhibah, kita berjuang di Mahkota, agar pembangunan makin bertambah,” katanya.


7.21 malam: [Tidak Rasmi] Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi di Facebook bahawa BN berjaya melepasi garis minimum apabila mendapat 19,463 undi daripada 83 saluran, dengan majoriti 14,509.


7.16 malam: [Tidak Rasmi] BN hampir mengekalkan penguasaan di Dun Mahkota apabila mendahului dengan 13,103 undi hasil kiraan 79 daripada 121 saluran pusat undi – BN (17,585 undi) / PN (4,482 undi)


Kluang: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini sehingga 20 pusat pengundian ditutup pada 6 petang tadi.

Rata-rata pengundi mengambil peluang untuk keluar mengundi awal bagi mengelak kesulitan, memandangkan cuaca tidak menentu dan kerap hujan di sebelah petang.

Menepati ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), bandar Kluang mulai hujan pada 4.20 petang selepas cuaca baik pada sebelah pagi.

Tinjauan mendapati, kebanyakan pengundi mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang menunaikan tanggungjawab, namun proses pengundian semakin perlahan menjelang dua jam sebelum pusat mengundi ditutup susulan hujan lebat.

Ketika ini proses pengiraan undi berlangsung di pusat pengundian masing-masing, sebelum peti undi itu dibawa ke pusat penjumlahan undi rasmi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini.

PRK Dun Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.


6 petang: 20 Pusat Pengundian ditutup

Kluang: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota berakhir selepas kesemua 20 pusat pengundian yang dibuka sejak 8 pagi, ditutup secara rasmi pada 6 petang tadi.

Sejurus itu, proses pengiraan undi dilakukan di pusat mengundi masing-masing, diikuti penjumlahan undi daripada 109 saluran itu yang akan dilaksana di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.

Keputusan dijangka seawal 9 malam.

Sebelum itu, 20 pusat mengundi dibuka serentak untuk memberi ruang kepada 61,274 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi bagi PRK Dun Mahkota adalah 41.16 peratus sehingga 4 petang.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Hari undi awal bagi PRK berkenaan berlangsung pada Selasa lalu, membabitkan 4,437 tentera dan pasangan serta polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top