Sarah terbuka kisah peribadi dijadikan 'content' lawak

Sarah terbuka kisah peribadi dijadikan 'content' lawak

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Puteri Sarah Liyana terbuka untuk menggunakan kisah peribadinya sebagai kandungan komedi bagi kumpulan Gebu yang dianggotainya dalam program Muzikal Lawak Superstar 4 (MLS4).

Sarah, 39, berkata, ia adalah lawak yang tidak berlebihan dan penonton juga tahu bahawa ia adalah kandungan komedi.

“Selalunya, kami akan berlatih dan rasanya tak keterlaluan sangat, cuma sikit-sikit saja. Tak adalah berlebih-lebihan sangat. Saya okay saja sebab tak berlebihan dan orang pun ketawa.

“Orang pun tahu, itu buat lawak saja. Produksi ada berikan beberapa had dan batasan, tetapi yang ini okay saja,” katanya.

Sarah berkata, ibu mentuanya, Datin Patimah Ismail yang hadir pada minggu pengenalan MLS4 minggu lalu juga turut terhibur dengan persembahannya dan dua anggota Gebu, Mamak Puteh dan Ilham Abata.

“Dia pun ketawa juga dan dia datang ketika hari pertama. Dia terhibur, okay dan saya pun dah maklumkan kepada dia.

“Malah, rakan sekumpulan saya iaitu Mamak Puteh dan Ilham Abata pun cakap ‘sorry’ dan dia pun cakap okay, tak apa sebab dia pun terhibur juga,” katanya.

Minggu ini, kumpulan Gebu akan membawa kejutan dengan menampilkan seorang tetamu jemputan.

“Malam ini adalah minggu persembahan yang istimewa sebab ada seorang tetamu jemputan yang anda semua mesti tak sangka siapa dia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top