am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang remaja perempuan yang disangka hilang oleh ibunya sejak petang semalam, sebelum satu laporan polis dibuat malam tadi, ditemukan semula di kawasan Pelangi Damansara, Petaling Jaya, pagi tadi.
Remaja terbabit, Gya Natasya Abdullah, 18, yang gagal dihubungi oleh ibunya sejak petang semalam, selepas pulang dari kerja di Cheras, dilaporkan kehilangan telefon bimbit ketika dia berada dalam kereta e-hailing selepas turun dari MRT di Stesen Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.
Ibunya, Johan Nazira Mohamed Nazib berkata, anak perempuannya itu sepatutnya turun di Stesen MRT Sungai Buloh, namun dia kemudian terpaksa turun di Stesen MRT TTDI kerana sakit perut.
“Dia turun di TTDI dan ke tandas, kemudian dia teringin nak makan cookies (biskut) jadi dia turun dari stesen dan keluar cari biskut di sebuah premis berhampiran dan kemudian masa dia nak balik ke hentian balik dia ambil grab baru dia sedar telefon bimbit dia hilang.
“Dia kemudian menghubungi telefon bimbit miliknya namun panggilannya kena reject call (ditolak) dan dia minta pemandu grab untuk menunggunya seketika bagi mencari telefon, sebelum dia ditinggalkan secara tiba-tiba pemandu grab.
“Pada masa sama dia sedang menunggu orang yang mungkin datang memulangkan telefon bimbitnya, dia kemudian didatangi satu kereta hitam dinaiki dua lelaki dan seorang wanita yang menawarkan untuk memberi bantuan,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Katanya, dia kemudian menaiki kereta berkenaan sebelum ditinggalkan di kawasan sekitar Damansara awal pagi tadi.
“Dia kata, dia tak ingat apa-apa cuma bila dia sedar dia secara tiba-tiba kena turun dari kereta itu di kawasan lot kedai yang gelap dan tiada orang.
“Dia kemudian berjalan dan cari orang untuk meminta bantuan sebelum menemui satu wanita di Pelangi Damansara, yang meminjamkannya telefon bimbit sebelum dia menghubungi saya untuk mengambilnya,” katanya.
Johan Nazira berkata, dia juga sudah memaklumkan kepada Ketua Balai Polis Kuang, bahawa anaknya sudah pulang ke rumah pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, mengesahkan bahawa Gya Natasya sudah berada bersama ibunya.
“Pada masa ini, ibunya masih belum datang ke Balai Polis untuk membuat laporan menyatakan anaknya sudah ditemui,” katanya.
Terdahulu, kehilangan Gya Natasya tular di media sosial sejak malam tadi selepas keluar dari rumah di Taman Matang Jaya, Sungai Buloh untuk menuju ke tempat kerja di Cheras.
© New Straits Times Press (M) Bhd




