Niat tanya tip bersalin VBAC, Intan Najuwa terkejut jadi isu perkauman pula!

Niat tanya tip bersalin VBAC, Intan Najuwa terkejut jadi isu perkauman pula!

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon dan usahawan, Datin Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, meluahkan rasa terkejut apabila perkongsiannya mengenai hasrat untuk mencuba kaedah Vaginal Birth After Cesarean (VBAC) bagi kehamilan kedua bertukar menjadi perdebatan membabitkan isu kaum di media sosial.

Menurut Intan, dia hanya bertanyakan pengalaman dan tip daripada ibu-ibu yang pernah melalui proses bersalin secara VBAC selepas menerima maklum balas positif daripada doktor mengenai pilihannya itu.

Katanya, pertanyaan yang dibuat di media sosial itu tidak berniat untuk membandingkan atau memperlekehkan mana-mana kaedah kelahiran sama ada secara normal mahupun pembedahan.

“Saya cuma bertanya pengalaman mereka yang pernah melalui VBAC kerana saya ingin mendapatkan lebih banyak maklumat dan persediaan jika diberikan peluang untuk melaluinya nanti.

“Saya tidak pernah mengatakan kelahiran secara pembedahan lebih rendah atau kurang baik berbanding kelahiran normal,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Intan berkata, anak pertamanya juga dilahirkan secara pembedahan selepas dia mengambil kira faktor keselamatan berdasarkan nasihat doktor yang merawatnya ketika itu.

Menurutnya, sebagai seorang ibu, keutamaan sentiasa diberikan kepada keselamatan bayi dan dirinya tanpa mengira kaedah kelahiran yang dipilih.

Mengulas dakwaan segelintir netizen yang mengaitkan isu berkenaan dengan bangsa tertentu, Intan menegaskan perkara itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan latar belakang kaum.

“Saya ada ramai kawan daripada pelbagai bangsa dan masing-masing mempunyai pengalaman serta pilihan berbeza mengenai proses kelahiran mereka.

“Ada yang melahirkan secara normal, ada yang melalui pembedahan dan semuanya bergantung kepada keadaan individu serta nasihat doktor,” katanya.

Menurut Intan, dia tidak menyangka perkongsian yang dibuat sekadar untuk mendapatkan maklumat bertukar menjadi perbahasan yang menyentuh isu perkauman.

Katanya, setiap ibu mempunyai perjalanan dan pengalaman berbeza sepanjang kehamilan serta proses melahirkan anak, justeru tiada sebab untuk mengaitkan perkara itu dengan sentimen kaum.

Tambah Intan, apa juga keputusan berkaitan proses kelahirannya kelak akan dibuat berdasarkan nasihat pakar perubatan demi memastikan keselamatan dirinya dan bayi sentiasa menjadi keutamaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top