Batu Pahat: Bukan mudah bagi Jeffry Jamil untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tatkala beliau perlu menjalani rawatan bagi ketumbuhan neuroma akustik, termasuk tiga pembedahan pada tahun pertama pengajiannya.
Baca juga: Zul Ariffin teruja sambutan hangat Liga Takraw Nasional Mekdi 2026
Dalam tempoh pengajian itu, enam kali jurutera berusia 44 tahun itu terfikir untuk berhenti, kali terakhir pada akhir 2025 ketika sakit kepala yang teruk membuatkannya ragu-ragu mampu membentangkan tesis yang hampir siap.
Bagaimanapun, berkat sokongan isteri dan penyelianya, Jeffry semalam menerima Ijazah PhD dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan pembuatan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-26 di sini.
Jeffry berkata, ketika itu, isterinya Syazasahira Mohamed Saat, 33, dan penyelianya Profesor Madya Dr Eliza M Yusup terus memberinya semangat memandangkan pengajiannya sudah lebih 75 peratus selesai.
Beliau berkata, Eliza turut memberi ruang kepadanya untuk menangguhkan pengajian jika perlu, asalkan dapat menamatkannya.
“Saya mula melanjutkan pengajian pada awal 2022 dan pernah beberapa kali berniat untuk berhenti apabila ada kalanya merasakan terlalu sakit di bahagian kepala sekali gus sesi pembelajaran dan proses menyiapkan kajian serta tesis sering terganggu,” katanya ketika ditemui Bernama selepas istiadat konvokesyen itu.
Jeffry yang berasal dari Puncak Alam, Selangor berkata, sebelum ketumbuhan di bahagian kiri kepalanya dikesan, beliau kerap mengalami sakit kepala yang akan reda selepas mengambil ubat tahan sakit.
Katanya, beliau dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut selepas menjalani pemeriksaan mata pada 2021 dan sudah mengetahui mengenai ketumbuhan itu ketika mendaftar di UTHM pada awal 2022, namun menyangka keadaannya tidak serius.
Baru sebulan mengikuti pengajian, Jeffry terpaksa menangguhkan semester pertamanya selama enam bulan untuk menjalani pembedahan pertama pada Februari 2022 dan pada semester kedua, beliau hanya sempat menghadiri kuliah selama tujuh minggu kerana perlu menjalani dua lagi pembedahan pada Julai tahun sama sebelum dapat kembali mengikuti pengajian pada 2023.
Tesis PhD beliau berkaitan pengujian tanpa musnah atau Non-Destructive Testing yang mengkaji penggunaan kaedah Phased Array Ultrasonic Testing (PAUT) berfrekuensi rendah pada bahan komposit polimer bertetulang gentian kaca.
Kaedah itu menggunakan gelombang ultrasonik untuk mengesan kecacatan di dalam bahan komposit dan mengenal pasti ciri kecacatan berkenaan tanpa merosakkan bahan yang diuji.
Jeffry berkata, ketumbuhan itu menjejaskan pendengarannya, manakala mata kirinya sering berair dan tidak dapat ditutup sehingga beliau sukar tidur.
Beliau berkata, ketumbuhan itu turut menjejaskan saraf tunjang dan keseimbangan badannya, manakala anggota badan sebelah kirinya hampir lumpuh sehingga sukar untuknya berdiri lama atau berjalan jauh.
Jeffry, yang menerima kad Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, ramai menyangka beliau pernah diserang strok kerana sebelah kiri wajahnya kelihatan jatuh dan sehingga kini masih mengalami sakit kepala dan pembedahan lanjut bagi membuang ketumbuhan itu masih dalam pertimbangan.
Sementara itu, Syazasahira berkata, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta kerana bimbang akan keadaan suaminya yang ada kalanya mengalami kebas pada bahagian kiri badan dan tidak mampu memandu jauh.
Sejak suaminya memulakan semester ketiga pada 2023, Syazasahira memandu dari Puncak Alam ke UTHM di Batu Pahat dua kali sebulan untuk menemani Jeffry menghadiri kelas atau sesi perbincangan, rutin yang diteruskannya sehingga suaminya menduduki viva pada Ogos 2026.
“Saya juga telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi melihat suami saya mampu menggenggam PhD yang dicita-citakannya selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, Eliza berkata, beliau mengambil kira keadaan kesihatan Jeffry dengan memberi ruang kepada pelajar seliaannya itu untuk mengikuti sesi pembelajaran dan perbincangan secara dalam talian.
© New Straits Times Press (M) Bhd