PUTRAJAYA: Pemain industri dan penjual khususnya di platform e-dagang perlu memastikan setiap produk dipasarkan mematuhi piawaian keselamatan SIRIM bagi mengelakkan penjualan barangan tidak berkualiti yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
Baca juga: Pemandu Naik Laluan Motosikal, Netizen Gelak Di Threads
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata tanggungjawab memastikan keselamatan produk bukan hanya terletak pada pengguna.
Sebaliknya, beliau berkata, ia perlu dipikul setiap peniaga sama ada yang beroperasi menerusi premis fizikal atau platform e-dagang.
Katanya, penjual perlu menjadikan pematuhan piawaian keselamatan sebagai keutamaan dengan hanya memasarkan produk yang mendapat pengiktirafan sewajarnya.
“Saranan saya kepada SIRIM dan Suruhanjaya Tenaga (ST) ialah bukan sahaja mempromosikan idea ‘Ada SIRIM, Baru Beli’, tetapi mempromosikan idea ‘Ada SIRIM, Baru Jual’.
“Pemain industri dan penjual perlu memastikan apa sahaja yang dijual di platform e-dagang atau di kedai fizikal mematuhi piawaian SIRIM kerana peralatan elektrik yang tidak mematuhi standard boleh membawa risiko kebakaran yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup ‘Karnival Ada SIRIM, Baru Beli! di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi SIRIM Berhad (SIRIM), Datuk Ir Dr Khairol Anuar Mohamad Tawi; Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Nik Sazali Nik Hussin dan Wakil Pengurusan ST, Hafiza Yob.
Dalam pada itu, Chin Tong berkata penjual perlu mempunyai kesedaran serta tanggungjawab moral terhadap keselamatan pengguna ketika memasarkan sesuatu produk.
Katanya, penjual tidak seharusnya mengambil mudah aspek pematuhan piawaian keselamatan.
Ini kerana, katanya, mereka turut mempunyai tanggungjawab sekiranya berlaku insiden membabitkan produk yang dijual.
“Sekiranya (produk dijual) tanpa (kelulusan) SIRIM, apabila kebakaran dan sebarang insiden berlaku, mereka (penjual) perlu mempunyai tanggungjawab moral.
“Kita ingin memastikan ada kesedaran dalam kalangan penjual serta kerjasama daripada platform e-dagang bagi memastikan hanya produk yang diiktiraf atau mematuhi piawaian SIRIM dan ST dijual di pasaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd