am@hmetro.com.my
Baca juga: Penjual perlu ada tanggungjawab, Chin Tong sarankan idea pastikan ‘Ada SIRIM, Baru Jual’
Sibu: Pembinaan jalan baharu ke kawasan Bukit Kemuyang dijangka merancakkan pembangunan setempat menerusi peningkatan akses perhubungan, sekali gus memendekkan masa perjalanan penduduk ke bandar Sibu.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, laluan baharu itu dijangka memendekkan masa perjalanan dari Bukit Kemuyang ke Sungai Merah atau Pasai kepada kurang 15 minit, berbanding 35 hingga 40 minit ketika ini.
“Kawasan ini agak jauh kerana mengambil masa antara 35 hingga 40 minit untuk sampai ke bandar Sibu.
“Namun, dengan pembinaan jalan baharu itu kelak, perjalanan ke Sungai Merah atau Pasai dijangka mengambil masa kurang 15 minit.
“Jadi, apabila berlaku perubahan dari segi perhubungan, mungkin lebih ramai akan datang ke kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan akses perhubungan itu dijangka membuka lebih banyak peluang pembangunan, selain menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.
Katanya, perancangan pembangunan turut merangkumi penyediaan kemudahan perumahan rakyat bagi menampung permintaan penduduk, memandangkan masih banyak lot tanah yang berpotensi untuk dibangunkan.
“Pada masa sama, penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta jawatankuasa masjid di kawasan Bukit Kemuyang akan digerakkan bagi memperkukuh pengurusan komuniti.
“Ia bagi memastikan program kemasyarakatan dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu antara agenda pembangunan yang diketengahkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 bagi memastikan keperluan infrastruktur, perumahan dan kesejahteraan penduduk DUN Nangka terus diberi perhatian.
© New Straits Times Press (M) Bhd