LATEST

Dari YouTube ke pentas mega

Dari YouTube ke pentas mega

Platform YouTube bukan sekadar medan hiburan, tetapi menjadi batu loncatan kepada ramai penyanyi antarabangsa untuk membina kerjaya dalam industri muzik.

Bermula dengan memuat naik video nyanyian dari bilik tidur atau kediaman sendiri, bakat mereka akhirnya mendapat perhatian penerbit muzik sehingga membuka peluang untuk bergelar artis rakaman.

Baca juga: SSMT EC Smurf B juara sulung Liga Takraw Nasional Mekdi 2026

Malah, ada yang berjaya meraih anugerah berprestij, menghasilkan lagu popular dan mengadakan persembahan di pentas antarabangsa. Berikut lima penyanyi yang membuktikan platform digital mampu menjadi titik permulaan kepada kejayaan luar biasa dalam industri muzik dunia:-

Alessia Cara

Bermula dengan merakam video nyanyian di bilik tidur, penyanyi, Alessia Cara mula memuat naik rakaman nyanyian semula lagu popular menerusi YouTube, termasuk karya penyanyi terkenal seperti Adele dan Jessie J ketika dirinya berusia 13 tahun.

Walaupun pada awalnya hanya mahu berkongsi minat terhadap muzik, rakaman nyanyiannya menarik perhatian pihak industri, khususnya selepas video lagu Sweater Weather mendapat sambutan.

Peluang tersebut membuka laluan kepada penyanyi kelahiran Kanada itu untuk menandatangani kontrak rakaman sebelum melancarkan single sulungnya, Here pada 2015.
Namanya semakin dikenali menerusi lagu Scars to Your Beautiful, selain kolaborasi bersama Zedd menerusi Stay dan dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Grammy 2018.

Charlie Puth

Sebelum dikenali sebagai penyanyi dan komposer terkenal, Charlie Puth terlebih dahulu membina pengikut menerusi saluran YouTube pada 2009. Ketika itu, Charlie sering berkongsi rakaman nyanyian semula lagu popular, selain menghasilkan muzik sendiri.

Bakatnya mula mendapat perhatian selepas menyanyikan semula lagu Someone Like You dendangan Adele bersama Emily Luther sehingga menarik minat pengacara televisyen terkenal, Ellen DeGeneres.

Pada 2011, DeGeneres menawarkan kontrak rakaman kepada kedua-duanya menerusi syarikat rakamannya, eleveneleven.Bagaimanapun, kejayaan terbesarnya hadir pada 2015 apabila berkolaborasi dengan penyanyi rap Wiz Khalifa menerusi lagu See You Again yang menjadi runut bunyi filem Furious 7 disusuli lagu Attention, We Don’t Talk Anymore dan One Call Away.

Madison Beer

Penyanyi Amerika Syarikat, Madison Beer mula mencuri perhatian ketika berusia 13 tahun selepas rakaman nyanyian semula lagu At Last nyanyian asal Etta James di YouTube dikongsikan Justin Bieber menerusi Twitter pada 2012.

Perkongsian itu menjadikan namanya tular sehingga membuka peluang menandatangani kontrak rakaman bersama Island Records.Madison kemudian melancarkan single sulung, Melodies pada 2013, diikuti album Life Support pada 2021 dan Silence Between Songs pada 2023. Popularitinya semakin menyerlah apabila lagu Make You Mine menerima pencalonan Anugerah Grammy.

Justin Bieber

Penyanyi kelahiran Kanada, Justin Bieber antara contoh paling terkenal bagi kejayaan artis yang memulakan perjalanan muzik menerusi YouTube.
Pada 2007, ibunya, Pattie Mallette mula memuat naik rakaman Justin menyanyikan lagu popular nyanyian Stevie Wonder, Michael Jackson dan Ne-Yo untuk dikongsikan bersama ahli keluarga serta kenalan.

Bagaimanapun, video berkenaan mendapat perhatian ramai sehingga menarik minat pengurus bakat, Scooter Braun pada 2008. Scooter kemudian mengatur pertemuan Justin dengan penyanyi terkenal, Usher sebelum menawarkannya kontrak rakaman.

Kemunculan single One Time pada 2009 menjadi titik permulaan kepada kejayaan penyanyi itu sebelum popularitinya.

Tori Kelly

Penyanyi Amerika Syarikat, Tori Kelly mula berkongsi video nyanyiannya di YouTube ketika berusia 14 tahun menerusi nyanyian semula lagu Thinkin Bout You nyanyian asal Frank Ocean.
Menariknya, Tori pernah menyertai program realiti American Idol musim kesembilan, namun gagal menempatkan diri dalam kelompok 24 peserta terbaik.

Kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya mendorong Tori menghasilkan karya sendiri sebelum melancarkan EP Handmade Songs secara bebas pada 2012.

Popularitinya terus meningkat selepas menandatangani kontrak bersama Capitol Records dan menghasilkan lagu seperti Nobody Love serta Should’ve Been Us.

The post Dari YouTube ke pentas mega appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news