am@hmetro.com.my
Baca juga: SSMT EC Smurf B juara sulung Liga Takraw Nasional Mekdi 2026
Butterworth: Kebajikan warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus menjadi keutamaan kerajaan menerusi penambahbaikan aspek perumahan, gaji, kemudahan keluarga dan peluang peningkatan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengorbanan anggota pertahanan negara perlu diseimbangkan dengan perhatian terhadap kebajikan mereka dan keluarga.
Beliau berkata, sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan, antara perkara utama yang diberi perhatian ialah memastikan anggota tentera mendapat kemudahan lebih baik termasuk perumahan dan pendidikan anak-anak.
“Saya tekankan dua perkara. Pertama, kita mahu prestasi, keupayaan dan kecekapan angkatan tentera ditingkatkan.
“Tetapi dalam masa sama kita mesti jaga kebajikan mereka, perumahan, sekolah anak-anak dan gaji,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Wira MADANI bersama Warga TUDM di Pangkalan Udara Butterworth, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Panglima TUDM, Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
Anwar berkata, kerajaan mengambil tindakan mempercepatkan kerja pembaikan rumah keluarga angkatan tentera yang sekian lama terabai.
Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan secara berperingkat membabitkan peruntukan besar bagi memastikan anggota tentera menikmati kediaman lebih selesa.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut melakukan penyelarasan gaji penjawat awam selepas tempoh panjang tanpa kajian semula.
Katanya, pelarasan berkenaan memberi manfaat lebih besar kepada kumpulan berpendapatan rendah termasuk anggota berpangkat rendah.
“Pangkat tertinggi naik maksimum sekitar tujuh peratus, manakala pangkat terendah biasa 15, 20 hingga 25 peratus.
“Ini untuk mengurangkan kesenjangan (jurang ekonomi, sosial dan wilayah),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memahami cabaran anggota tentera yang terpaksa berjauhan dengan keluarga, menjalani latihan mencabar serta melaksanakan tugasan berisiko demi mempertahankan negara.
“Kadang-kadang anak-anak terpaksa ditinggalkan berbulan-bulan kerana ibu atau bapa menjalankan tugas.
“Sebab itu kebajikan keluarga mesti diberi perhatian,” katanya yang meluluskan peruntukan RM100,000 bagi tujuan kebajikan warga TUDM Butterworth.
Beliau berkata, kerajaan akan terus menghargai jasa dan pengorbanan anggota pertahanan negara serta memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd