Polis nafi enggan terima laporan remaja perempuan hilang, sebelum ditemukan selamat

Polis nafi enggan terima laporan remaja perempuan hilang, sebelum ditemukan selamat

rnoraina@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Polis menafikan dakwaan pihaknya enggan menerima laporan berhubung seorang remaja perempuan yang hilang sebelum ditemukan selamat, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya terkesan mengenai dakwaan itu yang dibuat seorang pemilik akaun di media sosial dan tular, pada 2.42 pagi hari ini.

“Hasil siasatan mendapati laporan polis dibuat dalam tempoh tiga jam 11 minit selepas remaja itu gagal dihubungi oleh ibunya.

“Ini membuktikan bahawa polis sudah pun menerima laporan kurang dari tempoh 24 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam menyebarkan atau memuat naik kenyataan yang tidak benar atau palsu.

Mohd Hafiz berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Harian Metro terdahulu melaporkan, seorang remaja perempuan yang disangka hilang oleh ibunya sejak petang semalam, sebelum satu laporan polis dibuat malam itu, ditemukan semula di kawasan Pelangi Damansara, Petaling Jaya, pagi tadi.

Remaja terbabit, Gya Natasya Abdullah, 18, yang gagal dihubungi oleh ibunya sejak petang semalam, selepas pulang dari kerja di Cheras, dilaporkan kehilangan telefon bimbit ketika dia berada dalam kereta e-hailing selepas turun dari MRT di Stesen Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top