Putera William ucap tahniah Villa tewaskan Bayern

Putera William ucap tahniah Villa tewaskan Bayern

Birmingham: Aston Villa mengulangi kemenangan bersejarah mereka pada final Piala Eropah 1982 ke atas Bayern Munich apabila jaringan Jhon Duran berjaya menewaskan gergasi Jerman itu 1-0 awal pagi tadi.

Penyerang Colombia itu menjaringkan gol selepas melihat Manuel Neuer yang keluar dari posisi 11 minit sebelum perlawanan tamat menjadikan dua kemenangan daripada dua perlawanan untuk Villa dalam pengalaman pertama mereka di Liga Juara-Juara selepas 41 tahun.

Bayern tiba di Villa Park dengan rekod tanpa kalah sejak Vincent Kompany mengambil alih.

Namun, pasukan pelawat terperangkap oleh percaturan permainan Unai Emery apabila Duran menyambut hantaran jauh Pau Torres dan melepaskan rembatan ke arah Neuer dari jarak jauh.

Putera William antara lebih 40,000 penyokong Villa yang memberi memberi sokongan kepada pasukan Emery untuk mengenepikan jurang besar dalam pengalaman Liga Juara-Juara antara kedua-dua pasukan.

Bakal Raja Britain adalah antara yang mengucapkan tahniah kepada Emery dalam pertemuan selepas perlawanan.

“Saya memberitahunya saat terbaik yang boleh kami lalui ialah hari-hari seperti hari ini.

“Saya tidak tahu sejauh mana (Villa boleh pergi) tetapi kami akan cuba menikmati perjalanan ini. Hari ini kami (akan) ingat bagaimana kami bermain, siapa yang kami lawan dan final Liga Juara-Juara dari 42 tahun lalu. Ia adalah hari yang istimewa,” kata Emery.

Lima tahun lalu, Villa berada di liga kedua bola sepak Inggeris, tetapi mereka menikmati kenaikan yang luar biasa sejak pengendali dari Sepanyol itu mengambil alih kurang dari dua tahun yang lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top