Rakyat sudah lama merdeka, ahli politik bila lagi?

SAYA fikir pemimpin atau ahli politik yang selalu menyentuh hal 3R (agama, bangsa dan institusi raja) sepatutnya berasa amat malu apabila rakyat tidak teragak-agak terus mengatakan bahawa golongan inilah menjadi segala punca masalah perpaduan kaum di negara ini.

Kenapa saya cakap begitu? Lihat sahaja dalam media sosial, apabila ada saja kejadian yang ditularkan berkenaan mana-mana rakyat kita berbilang bangsa sesama membantu dalam kesusahan, kemalangan, bencana atau ketika memerlukan, ramai yang berkata, inilah wajah rakyat Malaysia yang sebenar.

Tidak ada pula yang akan tengok bangsa atau agama apa dulu, atau tanya sokong parti politik mana dulu, baru mahu menghulurkan pertolongan.

Nampak jelas daripada perbuatan mereka bahawa mereka ini melakukannya demi kemanusiaan dan semua agama mengajar hal yang baik-baik.

Terbaru di Kuala Lumpur, tular seorang lelaki penunggang motosikal Melayu membantu seorang wanita tua berbangsa India yang kurang upaya (OKU) melintas jalan dengan mendukung wanita itu sambil dibantu oleh beberapa orang awam lain.

Video tersebut menyentuh hati semua yang melihat dan mengundang senyum serta sebak ramai orang.

“Malaysia memang begitu. Emak orang Melayu siapa ke, emak orang Cina, emak orang India, orang emak Kadazan, kalau nampak emak orang lain susah, semuanya jadi emak dia,” komen seorang lelaki di TikTok.

Seorang lagi memberi komen: “Rakyat ini semua ok, yang batu apinya orang politiklah.”

“Malaysia ini yang buat hal ahli politik yang nak kita bergaduh.” Komen seorang lelaki Cina

“Ini orang politik kena tengok. Merekalah yang mahu kita berpecah belah.” Tulis seorang wanita.

Komen-komen spontan sebegini sebenarnya adalah satu bentuk ‘gegaran berkala besar’ kepada sesiapa sahaja yang cuba bermain api sentimen kaum.

Rakyat kebanyakan sudah matang dan tidak suka dengan pergaduhan yang tidak membawa faedah. Mereka juga sudah biasa dengan orang politik yang suka menunggang isu 3R, dan kononnya memperjuangkan isu-isu sebegini tetapi sebenarnya hanya untuk mendapat mileage politik.

Cukuplah. Kita sudah memasuki usia 69 kemerdekaan sejak 31 Ogos 1957. Kalau tidak boleh berhenti menunggang isu ini, cubalah ‘bercuti’ setahun dua. Tengok negara ini boleh jadi apa tanpa mereka mengadu domba sensitiviti agama dan kaum.

Ahli-ahli politik sebegini harus melihat bagaimana hebatnya moral dan akhlak ramai penghantar makanan (rider) yang ditularkan di media sosial yang sanggup mengetepikan seketika urusan mencari rezeki di tengah-tengah kesesakan lalu lintas, demi untuk membantu warga emas atau sesiapa saja di jalan raya ketika kesusahan.

Ada yang menolak kereta yang rosak di tengah-tengah jalan sesak. Ada yang menolong menolak kerusi roda OKU untuk melintas, mempermudahkan lalu lintas dan macam-macam lagi.

Itulah wajah sebenar rakyat Malaysia yang kita nampak setiap hari.
Tapi peliknya, apabila sampai ke pentas politik, isu 3R dijadikan umpan untuk menarik sokongan ramai. Kita disuap dengan cerita siapa hina siapa.

Siapa langgar sensitiviti. Siapa kurang ajar. Siapa pengkhianat. Siapa patut minta maaf. 3R sudah jadi menu wajib.

Bila kali terakhir ahli politik-ahli politik sebegini melakukan tindakan murni seperti apa yang dilakukan oleh penghantar-penghantar makanan tersebut? Bila kali terakhir politikus ini tular kerana melakukan kerja-kerja berfaedah?

Yang tular di media sosial adalah pelbagai provokasi dan cubaan menyakiti hati mana-mana kaum.

Selepas itu apabila rakyat naik angin dalam ruangan komen, pemimpin ini angkat tangan dan mengatakan rakyat pula yang rasis. Sedangkan dia yang baling batu, sembunyi tangan.

Rakyat di bawah ini sibuk bekerja, berniaga, hantar anak ke sekolah, memikirkan untuk bayar macam-macam hutang, hadap harga barang, hadap kesesakan jalan raya dan bersidai lama menunggu rawatan di hospital. Ada masakah untuk bergaduh pasal kaum?

Tetapi apabila lihat telefon pintar, nampak pula kenyataan-kenyataan provokasi 3R daripada pemimpin politik, adakah ini yang mereka mahu – mengajar atau mengajak rakyat untuk marah, benci dan curiga?

Dan kepada rakyat yang mudah terjebak juga dengan provokasi ini atau gemar menjadi ‘kacang hantu 3R’, berhentilah jadi tukang adu domba. Berhentilah jadi keyboard warrior yang hanya berani di ruangan komen tapi apabila depan-depan jumpa, senyum dan hipokrit.

Kita ini hebat kerana kita sudah biasa berkongsi. Berkongsi sekolah dan universiti. Biasa berkongsi meja makan. Berkongsi makanan kegemaran. Biasa berkongsi pengangkutan awam. Biasa berkongsi kegembiraan ketika pasukan negara menang dalam mana-mana pertandingan antarabangsa dan ada juga biasa berkongsi rezeki.

Teruskanlah kebiasaan ini dan jangan berhenti membantu orang yang memerlukan tanpa memilih bulu.

Ini kerana pada akhirnya, negara ini bukan diselamatkan oleh ucapan gah politikus ‘cari makan’ dalam perhimpunan atau Parlimen. Negara ini diselamatkan oleh tindakan-tindakan kecil rakyatnya yang memberi makna begitu besar dan penawar kepada semua penduduknya.

Semoga pada sambutan ulangtahun kemerdekaan negara ini, kita semua dimerdekakan daripada segala perasaan prejudis perkauman dan kebencian yang entah apa-apa.

Semoga tahun ini kita meraikan bukan dengan bendera Jalur Gemilang saja, tetapi dengan hati yang terbuka, ikhlas menerima perbezaan dan kekurangan.

Sementara itu, politikus 3R carilah apa isu-isu rakyat yang tulen yang boleh diperjuangkan. Berhentilah mempergunakan, mengacum dan menghasut rakyat untuk tujuan keuntungan politik anda.

Rakyat sudah lama memerhati dan bercakap cukup jelas – “Rakyat ini semua ok. Yang batu apinya orang politik.”

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Scroll to Top