Tragedi Myvi terbakar: 'Arwah anak baik, kerja keras bantu keluarga'

Tragedi Myvi terbakar: 'Arwah anak baik, kerja keras bantu keluarga'

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Seorang ibu tidak dapat menahan kesedihan sehingga terpaksa dipapah ketika menuntut jenazah anak perempuannya yang maut dalam kemalangan tragis di Batu 1, Jalan Yong Peng-Ayer Hitam, di sini, semalam.

Siti Nurmaisarah Abd Jalil, 22, bersama sepupunya, Siti Nur Batrisya Mohd Khalid, 22, maut apabila kereta dinaiki terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori.

Hairul Aziah Rahmad, 52, turut beberapa kali meluahkan hasrat untuk menatap wajah anaknya buat kali terakhir sebelum ditenangkan ahli keluarga.

Menurutnya, dia tiba lewat di lokasi kemalangan sehingga tidak sempat melihat wajah anaknya.

“Saya sampai di lokasi, tengok kereta sudah tinggal rangka,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNI, di sini, hari ini.

Sementara itu, kakak ipar Hairul Aziah, Zahrah Suliman, 61, berkata dia sedang mencari rumah baharu untuk dibeli bagi membolehkan wanita itu dan abangnya yang juga orang kurang upaya (OKU) tinggal bersamanya.

Menurutnya, sejak ibu bapa Siti Nurmaisarah berpisah, arwah banyak menanggung keperluan harian keluarga berikutan keadaan kesihatan ibunya yang tidak mengizinkan.

“Dia seorang anak yang baik dan bekerja keras untuk membantu keluarga.

“Arwah bercadang untuk tinggal bersama keluarganya di rumah baharu apabila berkahwin nanti.

“Arwah sudah memberitahu dia mahu membawa kami tinggal bersamanya. Dia memang banyak membantu keluarga, termasuk menguruskan abangnya.

“Tetapi apakan daya, cita-cita arwah tidak kesampaian.

“Itulah yang membuatkan kami sekeluarga sangat sedih,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top