syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai menyifatkan pengumuman pengecualian penuh duti hiburan bagi tayangan filem tempatan dan persembahan teater di Wilayah Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 sebagai pemangkin utama dalam meningkatkan daya saing serta ekosistem industri perfileman negara.
Gayatri berkata, inisiatif yang bakal dilaksanakan bermula tahun depan itu adalah satu langkah sangat positif yang memberi kebaikan serta pulangan lebih saksama kepada penggiat seni.
“Saya menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 ini. Ia adalah satu langkah yang berpotensi membantu meningkatkan daya saing karya tempatan dan memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem industri perfileman.
“Saya berharap kerajaan negeri lain turut mengambil langkah yang sama supaya manfaat pengecualian duti hiburan ini dapat dinikmati secara lebih meluas di seluruh negara,” katanya.
Gayatri menjelaskan, pelepasan cukai itu dijangka membantu meningkatkan kutipan tiket di pawagam, sekali gus memberi pulangan lebih baik kepada penerbit filem.
Menurutnya, lebihan pulangan yang diperoleh hasil daripada pengecualian berkenaan boleh dilaburkan semula untuk menghasilkan lebih banyak kandungan tempatan yang berkualiti tinggi pada masa hadapan.
“Pembangunan industri kreatif yang mampan memerlukan keseimbangan antara insentif penerbitan, sokongan pemasaran dan pengedaran, serta peluang untuk mendapatkan pulangan komersial.
“Matlamat akhirnya adalah untuk membolehkan penerbit terus melabur dalam karya baharu, membangunkan harta intelek (IP) tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk tenaga kerja kreatif Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, pihaknya berharap sokongan dan komitmen berterusan daripada kerajaan dapat mengekalkan momentum positif dalam sektor seni dan budaya.
“Secara keseluruhannya, saya menyambut baik hala tuju ini dan berharap sokongan kerajaan dapat diteruskan secara konsisten.
“Ini penting supaya industri perfileman, muzik dan kandungan kreatif Malaysia bukan sahaja mampu menghasilkan karya yang membanggakan, tetapi juga berkembang sebagai industri yang berdaya saing serta mampan dari segi komersial,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 dan mengumumkan peruntukan keseluruhan RM130 juta disediakan untuk menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.
Matlamatnya adalah untuk mengangkat citra negara, mencipta peluang pekerjaan dan membawa kisah Malaysia ke pentas dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




