Motegi: Francesco Bagnaia memanfaatkan kesilapan dilakukan pendatang baharu, Pedro Acosta untuk memenangi perlumbaan pecut MotoGP Jepun, hari ini dan merapatkan jurang dengan pendahulu keseluruhan, Jorge Martin.
Acosta dari Sepanyol terjatuh ketika berbaki empat pusingan semasa mendahului perlumbaan di Motegi, membolehkan juara bertahan, Bagnaia, menyambar tempat pertama di hadapan Enea Bastianini dan Marc Marquez.
Martin dari Sepanyol menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan menyaksikan kelebihan keseluruhannya ke atas Bagnaia dipotong kepada 15 mata dalam kedudukan kejuaraan.
Pelumba Pramac, Martin, sedang memburu gelaran MotoGP pertamanya selepas menduduki tempat kedua di belakang Bagnaia dari Ducati tahun lalu.
Acosta, yang memulakan perlumbaan dari petak pertama buat kali pertama selepas mendominasi sesi kelayakan di sebelah pagi, dilihat berusaha untuk meraih kemenangan pertama dalam perlumbaan pecut.
Dia kehilangan kedudukan pendahulu kepada Bagnaia di selekoh pertama tetapi berjaya memotongnya semula tidak lama kemudian dan berusaha keras untuk meraih kemenangan.
Namun, dia terjatuh dari motosikalnya dan memberikan laluan kepada Bagnaia, yang turut bekerja keras untuk meraih kemenangan selepas mendapat tentangan sengit daripada Bastianini dan Marquez.
Martin bermula dari tempat ke-11 tetapi dengan permulaan yang hebat, dia melonjak ke kedudukan kelima pada pusingan pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




