Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki telah ditemui di dalam bilik sebuah rumah di Batu 4, Port Dickson tanpa pakaian dan mempunyai kesan luka pada badan.
Menerusi laporan Sinar Harian, kanak-kanak yang berusia enam tahun itu disyaki telah didera oleh bapa angkatnya.
Kejadian itu diketahui apabila seorang wanita warga emas yang menjaganya sebelum ini berasa tidak sedap hati selepas gagal menghubungi mangsa.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, mereka telah menerima laporan kejadian pada 3 Oktober lalu oleh seorang wanita berusia 67 tahun.
Pengadu mengatakan mangsa ditemui dalam keadaan menangis dan terdapat kesan luka pada bahagian tubuh badannya.
Bertindak atas maklumat itu, polis telah membuat tangkapan berasingan ke atas tiga lelaki di Taman Desa Rusa, Port Dickson dan Taman Dataran Segar, Lukut serta menyelamatkan mangsa yang berada di dalam bilik.
Difahamkan, kanak-kanak lelaki tersebut merupakan anak yatim dan telah ditinggalkan oleh ibu kandungnya sejak kecil lagi.
Mangsa kemudian telah dijaga oleh pengadu sebelum diserahkan kepada bapa angkat pada tahun 2021.
Sepanjang dalam tempoh jagaan pengadu, mangsa dalam keadaan baik dan sentiasa berhubung melalui panggilan video dan telefon.
Namun pada awal Oktober, mangsa gagal dihubungi. Anak pengadu telah pergi melihat dan mendapati mangsa dalam keadaan cedera, menangis dan diletakkan di atas lantai tanpa berpakaian.
Jurusolek antara tiga lelaki yang ditangkap susulan kejadian ini. Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kesemua suspek berusia antara 32 hingga 36 tahun.
Suspek bekerja sebagai jurusolek dan hasil semakan rekod mendapati kesemua yang ditahan mempunyai pelbagai kesalahan lampau melibatkan dadah dan jenayah. Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah.
Soal siasat awal mendapati punca suspek memukul kanak-kanak itu kerana mangsa degil dan membuang air kecil di merata tempat di dalam rumah.
Selain itu turut dirampas senjata yang digunakan iaitu rotan bulu ayam dan pemanas air.
Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kesemua mereka direman sehingga Khamis ini.





