London: Sistem sebutan garisan elektronik akan menggantikan penjaga garisan di Wimbledon bermula pada 2025, umum pegawai All England Lawn Tennis Club, semalam.
Wimbledon kini menyertai kejohanan lain di seluruh dunia yang akan menggunakan sistem elektronik itu selepas kejayaan sesi percubaan pada kejohanan tahun itu.
Teknologi itu akan digunakan di peringkat kelayakan dan perlawanan kejuaraan serta digunakan untuk menyebut ‘keluar’ atau ‘batal’, yang sebelum ini menjadi tanggungjawab penjaga garisan.
Jelajah ATP pada tahun lalu menjelaskan penggunaan sebutan garisan elektronik itu akan digunakan pada 2025.
“Keputusan memperkenalkan sistem sebutan garisan elektronik di Wimbledon dibuat susulan pertimbangan dan rundingan sewajarnya,” kata Ketua Eksekutif All England Club, Sally Bolton dalam kenyataan.
“Selepas menilai keputusan percubaan pada kejohanan tahun ini, kami mendapati sistem itu berkesan dan tepat pada masanya untuk memaksimumkan ketepatan dalam tugasan pegawai kami.
“Bagi pemain, ia akan menawarkan situasi sama apabila mereka bermain dalam beberapa kejohanan lain.
“Kami bertanggungjawab untuk mengimbangi tradisi serta inovasi di Wimbledon dengan serius.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




