Selangor juara SUKMA buat kali ke-10

sukan@hmetro.com.my

Shah Alam: Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan kutipan keseluruhan sebanyak 245 pingat.

Kejuaraan kali ke-10 itu menjadikan Selangor sebagai negeri terbanyak menjuarai temasya sukan itu sejak mula penganjuran pada tahun 1986, iaitu 40 tahun lalu membabitkan 22 edisi.

Lebih manis kejayaan ini mengatasi pencapaian terbaik ketika kali pertama Selangor menjadi tuan rumah, 28 tahun lalu malah berjaya melepasi sasaran 80 pingat emas.

Sebelum ini, Selangor pernah menjuarai SUKMA pada tahun 1988, diikuti dengan enam edisi berturut-turut pada tahun 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006 dan seterusnya pada tahun 2013 dan 2016.

Pada edisi kali ini, selaku tuan rumah, pasukan Merah Kuning yang berjaya memperoleh 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Manakala, Wilayah Persekutuan di tangga kedua dengan kutipan 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa sementara Terengganu melengkapkan tiga negeri teratas dengan kutipan 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa.

Raja Muda Selangor, berkenan melafazkan perasmian penutupan SUKMA XXII yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada majlis yang diadakan di Aneka Walk, Seksyen 14 di sini, Exco Belia dan Sukan negeri, Mohd Najwan Halimi mengumumkan Atlet Wanita Terbaik SUKMA XXII Selangor 2026 dinobatkan kepada perenang sensasi wanita Selangor Eliza Tan Ai Shen.

Atlet yang berusia 19 itu memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter gaya bebas wanita sebanyak dua kali dengan rekod baru 56.78 saat.

Atlet Lelaki Terbaik SUKMA XXII Selangor 2026 pula menjadi milik penembak sensasi dari Pahang, Cheah Zen Hong yang merangkul sembilan emas dan satu perak malah turut memecahkan dua rekod kejohanan 10m Air Pistol dan 25m Sport Pistol.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 bersama piala pusingan dan piala iringan.

Kedua-dua atlet lelaki dan wanita terbaik SUKMA XXII Selangor dipilih sebulat suara oleh Jawatankuasa Pemilihan Atlet Terbaik SUKMA XXII Selangor 2026 yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026, Datuk Mohd Yazid Sairi, Timbalan Ketua Pengarah (TKP (S)) Majlis Sukan Negara, Mohd Sofian Hamzah, wakil daripada Majlis Sukan Negara dan tiga wakil daripada penganjur dan media.

Hadiah kepada juara keseluruhan kontinjen Selangor, atlet lelaki terbaik dan atlet wanita terbaik SUKMA XXII Selangor disampaikan oleh Tengku Amir Shah sambil disaksikan oleh Anwar Dan Amirudin.

SUKMA XXII Selangor 2026 mempertandingkan 37 jenis sukan dengan 368 acara yang dijalankan di sembilan daerah di seluruh negeri membabitkan 51 fasiliti pertandingan.

Seramai lebih 12,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen negeri dan negara Brunei Darussalam menyertai temasya dwitahunan kali ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top