Muhammad Aqif dijumpai selepas keluarga laksana solat hajat

Muhammad Aqif dijumpai selepas keluarga laksana solat hajat

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Selepas 18 jam hilang, Muhammad Aqif Aisar Azrie Faisal akhirnya ditemui kira-kira 11.30 pagi tadi, iaitu 20 minit selepas ahli keluarganya mengadakan solat hajat.

Mayat remaja berusia 13 tahun itu ditemukan lemas lebih 100 meter dari lokasi dia hilang di pintu air Pangkal Kalong, Kok Lanas, di sini.

Terdahulu 20 ahli keluarganya dan penduduk kampung melakukan solat hajat di lokasi selepas usaha mencari dan menyelamat (SAR) semalam gagal menemui mangsa.

Pegawai Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, SAR yang diteruskan hari ini dilaksana dalam radius 100 meter, membabitkan 21 anggota termasuk 10 Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM, selain enam anggota polis.

“Susulan penemuan, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Suasana pilu mengiringi penemuan mangsa apabila ibu bapanya, Nurafidah Mohd Yusuf, 31, dan Azrie Faisal Abd Aziz, 31, sukar menahan sebak sebaik melakukan pengecaman, hingga terpaksa dipapah ahli keluarga lain.

Mayat anak sulung daripada empat beradik itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk bedah siasat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top