BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui teknik serangan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang lebih unggul sehingga menjadi antara faktor kekalahan mereka pada final Kejohanan Dunia 2026 di India pada Ahad.
Wooi Yik berkata, permainan agresif gandingan China itu turut memberi tekanan hebat sehingga mereka gagal mencari jalan untuk mengubah momentum perlawanan.
“Pertama sekali, saya rasa mereka lebih kuat di bahagian depan dan ketika menyerang berbanding kami. Itu yang perlu kami pelajari, terutama bagaimana untuk mengawal diri sendiri.
“Mereka memberikan banyak tekanan kepada kami di gelanggang dan kami tidak dapat mencari jalan untuk keluar daripada tekanan itu. Itu yang menyebabkan kami tewas hari ini,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pada aksi final di Stadium Tertutup Indira Gandhi, New Delhi, Aaron-Wooi Yik tewas straight set 17-21, 16-21 kepada Liang-Wang, sekali gus gagal mengulangi kejayaan muncul juara pada edisi 2022.
Bagaimanapun, Wooi Yik tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka mara ke final walaupun tidak beraksi bersama sebelum kejohanan bermula.
“Saya masih sangat gembira dengan keputusan ini. Kami sudah melakukan tugas dengan baik, cuma tidak dapat menamatkannya dengan cara terbaik.
“Masih banyak sasaran di hadapan dan kami perlu fokus kepada perkara yang perlu diperbaiki,” katanya.
Sementara itu, Aaron mengakui mereka mungkin memerlukan pendekatan baharu selepas sembilan tahun bergandingan, termasuk kemungkinan dipisahkan bagi memberi ruang kepada masing-masing memperbaiki kelemahan.

