Indeks pelopor catat pertumbuhan 114.8 mata pada Jun

PETALING JAYA: Indeks Pelopor (IP) Malaysia mengekalkan momentum positif dengan mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 1.3 peratus pada Jun 2026, mencapai 114.8 mata berbanding 113.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, pertumbuhan IP itu didorong terutamanya oleh lonjakan ketara dalam import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (35.1 peratus) serta prestasi stabil import benar semi konduktor (14.2 peratus).

“Senario ini selari dengan pengukuhan aktiviti perdagangan Malaysia, khususnya permintaan yang berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E).

“Walau bagaimanapun, prestasi keseluruhan diimbangi oleh penurunan dalam beberapa komponen terutamanya Bilangan Syarikat Baru Didaftar.

“Pada asas bulanan, IP turut mencatatkan peningkatan marginal 0.02 peratus, disumbangkan oleh import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (0.8 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Melihat kepada jangkaan masa hadapan, DOSM berkata, arah aliran jangka panjang terlicin IP kekal di bawah 100 mata.

“Namun begitu, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta aktiviti pelaburan yang terus meningkat.

“Pada masa yang sama, landskap ekonomi global yang semakin dinamik serta pemulihan dalam perdagangan antarabangsa dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia,” jelasnya.

DOSM berkata, bagi prestasi ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) menunjukkan pengukuhan sebanyak 2.6 peratus tahun ke tahun dengan 131.6 mata.

“Peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam semua komponen, terutamanya Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (16 peratus) dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (4.1 peratus).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, IS turut meningkat sebanyak 0.3 peratus, yang disumbangkan oleh peningkatan dalam Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan (0.2 peratus),” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top