SRAM perlu RM2 juta setahun

SRAM perlu RM2 juta setahun

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memerlukan sekurang-kurangnya RM2 juta setahun untuk bergerak secara aktif dan mempromosikan sukan berkenaan di peringkat akar umbi dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam berkata, kekurangan dana menjadi faktor utama mengapa mereka sering kali sukar pergi ke peringkat bawahan untuk mencungkil dan menggilap bakat muda menjadi bintang untuk negara.

Tambahnya, jika perkara itu dipandang secara serius, tidak mustahil dalam beberapa tahun akan datang, skuasy akan menghadapi fasa serta detik sukar.

“Sekarang sukan skuasy berada dalam Sukan Olimpik (Los Angeles 2028), kita memerlukan sokongan penuh untuk seluruh program yang bermula dari akar umbi sehingga hingga ke program elit.

“Kami sudah mencapai banyak kejayaan dengan menggunakan wang penajaan dan wang kami sendiri tetapi dari sudut lain, kami sangat sukar kerana kewangan tidak cukup untuk perkembangan lebih baik dan terhalang oleh kekurangan dana.

“Kami tidak boleh bergantung kepada pemain yang pergi bertanding di luar negara sahaja. Bagaimana dari segi promosi dan skuad pembangunan kami? Jika kita tidak melakukan apa-apa tindakan dalam masa lima tahun, kita tidak akan mempunyai sokongan (pemain di peringkat elit),” katanya kepada Arena Metro.

Oleh itu beliau berharap Belanjawan 2025 kali ini akan membawa berita positif buat SRAM untuk merancang program lebih terancang sekali gus menjadi antara negara kompetitif dalam setiap pertandingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top