mdroji@bh.com.my
Kuching: Hujan lebat sejak 1.30 tengah hari tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah di bandar raya ini dilanda banjir kilat.
Turut terjejas, lokasi perbarisan dan rapat raksasa sempena sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-78, Yang di-Pertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka.
Persiapan rapi dibuat sejak seminggu lalu dengan kerusi sudah disusun di khemah tetamu bagi sambutan yang akan berlangsung esok pagi.
Bagaimanapun banjir kilat yang menyebabkan air naik membuatkan kain pelapik kerusi kotor. Turut rosak permaidani yang dipasang di khemah tetamu kenamaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, banjir kilat itu bagaimanapun surut kira-kira 3.30 petang.
“Air naik dengan cepat ketika hujan lebat melanda bermula 1.30 tengah hari.
“Beberapa jalan ditenggelami air sehingga menyukarkan kenderaan kecil melaluinya, namun keadaan itu hanya berlaku kira-kira sejam,” katanya.
Antara kawasan terjejas ialah Jalan Pending, Jalan Kwong Lee Bank, Jalan Pearl, Jalan Tun Ahmad Zaidi, laluan berdekatan Hospital Umum Sarawak, Jalan Batu Kawa, pekan Batu Tiga serta Jalan Penrissen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




