Vancouver: Jurulatih New Zealand, Darren Bazeley tetap menzahirkan rasa bangga terhadap persembahan anak buahnya meskipun kempen Piala Dunia berakhir dengan kekalahan besar 1-5 kepada Belgium dalam aksi terakhir Kumpulan G, hari ini.
Kekalahan itu menyaksikan New Zealand menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan, namun Bazeley menegaskan pengalaman beraksi di pentas tertinggi dunia tetap menjadi pelajaran penting buat skuadnya.
New Zealand sebelum ini pernah memberi tentangan apabila mendahului Iran sebelum diikat 2-2, selain turut membuka jaringan ketika menentang Mesir sebelum tewas 1-3.
Bazeley berkata, peluang untuk mengutip mata dalam dua perlawanan awal tidak dimanfaatkan dengan baik, sekali gus menjejaskan peluang pasukannya untuk mara lebih jauh.
“Kami tahu mungkin Belgium sudah mengumpul enam mata sebelum perlawanan ini dan situasi itu boleh memihak kepada kami. Namun kami sepatutnya mengutip mata dalam dua perlawanan awal, dan kami tidak melakukannya,” katanya.
Beliau turut menegaskan anak buahnya tetap berusaha untuk bangkit walaupun berdepan tekanan hebat daripada lawan.
“Kami cuba kembali dalam permainan, bukan sekadar bertahan untuk kekalahan 0-2. Kami mahu menjaringkan gol dan kembali bersaing, tetapi kami dihukum beberapa kali,” katanya.
New Zealand bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Chris Wood, yang juga gol ketiganya dalam kejohanan ini, namun Belgium terus menambah dua gol lewat permainan untuk melengkapkan kemenangan besar.
Bazeley percaya skuadnya akan kembali lebih kuat pada masa depan, terutama menjelang kejohanan akan datang.
“Kebanyakan pemain ini akan kembali dalam empat tahun lagi dan mereka akan menjadi lebih baik. Mereka perlu belajar daripada pengalaman ini jika mahu mencapai pusingan kalah mati,” katanya.
Sementara itu, Chris Wood yang pernah beraksi di Piala Dunia 2010 berkata, pendedahan menentang pasukan besar menjadi faktor penting dalam perkembangan New Zealand.
“Kami mahu berdepan pasukan terbaik untuk terus berkembang. Kami sudah tunjukkan kemampuan menentang Mesir dan Iran, tetapi tidak dapat menandingi Belgium malam ini,” katanya.
Dia turut menegaskan pembangunan pemain di liga lebih kompetitif di luar negara akan membantu meningkatkan tahap skuad kebangsaan pada masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




