mahaizura@mediaprima.com.my
Subang Jaya: Inisiatif Rumah Belajar Tanpa Loceng yang memberi ruang pembelajaran kepada komuniti Orang Asli Temiar di Pos Pulat, Gua Musang, Kelantan mengiktiraf Muhammad Hafizu Aiman Jusoh sebagai penerima RISE Educator Award 2026.
Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan berkata, anugerah pendidikan anjuran Taylor’s College itu diwujudkan bagi mengiktiraf guru yang memberi impak bermakna kepada pelajar, sekolah dan komuniti menerusi pendekatan kreatif serta inovatif dalam pendidikan walaupun berdepan kekangan sumber.
“Walaupun kelima-lima finalis datang dari latar belakang dan komuniti berbeza, mereka berkongsi kepercayaan sama bahawa setiap pelajar berhak mendapat peluang untuk belajar, berkembang dan mencapai potensi masing-masing.
“Mereka mengubah cabaran menjadi peluang, sumber yang terhad kepada penyelesaian kreatif dan bilik darjah menjadi ruang untuk pelajar menemui kemampuan sebenar mereka,” katanya.
Menurut beliau, RISE yang membawa maksud Impak Luar Biasa dalam Pendidikan Pelajar diperkenalkan pada 2021 ketika guru berdepan antara tempoh paling mencabar dalam pendidikan.
Sehingga kini, RISE Educator Award sudah mengiktiraf 23 guru dengan hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM45,000 selain menyokong 21 sekolah di seluruh negara menerusi pembiayaan projek bernilai lebih RM290,000.
“Kami berharap RISE Educator Award terus membentuk komuniti yang membuatkan guru berasa dihargai, disokong dan mendapat inspirasi untuk terus membawa perubahan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Hafizu, 35, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulat berkata, dia membangunkan ruang berkenaan supaya komuniti boleh belajar secara kendiri tanpa bergantung kepada internet termasuk ketika cuti sekolah.
Katanya, projek berasaskan heutagogi yang bermula pada 2024 itu kini dimanfaatkan 40 murid sekolah rendah serta 25 peserta dewasa berusia antara 18 hingga 73 tahun.
“Walaupun tanpa internet dan akses lain, mereka boleh datang dan belajar 24 jam tanpa had. Saya buat supaya mereka boleh belajar sendiri termasuk ketika cuti panjang,” katanya.
Inisiatif itu turut menggabungkan kecerdasan buatan (AI) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kemahiran digital dan warisan Temiar menerusi Kampung AI dan Digital, Kamus Digital Temiar serta AI Storybook Mathematics.
Muhammad Hafizu membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala SK Pulat menerima geran RM50,000 bagi menyokong inisiatif pembangunan sekolah yang memberi manfaat kepada murid dan komuniti.
Majlis penyampaian anugerah itu juga disempurnakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Selain itu, empat lagi guru dipilih sebagai finalis RISE Educator Award 2026 menerusi pendekatan berbeza dalam menangani cabaran pembelajaran dan membuka peluang kepada murid.
Setiap empat finalis itu membawa pulang wang tunai RM1,000 manakala sekolah masing-masing menerima RM10,000 bagi menyokong penambahbaikan persekitaran pembelajaran dan pembangunan murid.
Antaranya, guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Buloh, Selangor, Teh Zhen Kiat, 37, menggunakan pendekatan Think, Navigate and Create bagi mengubah murid daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta menerusi AI, STEM dan pengaturcaraan.
Katanya, menerusi AI Drone Team dan AI Digital Junior Leaders, murid dilatih mereka bentuk, membina, mengekod serta membantu rakan sebaya dari tahun satu hingga enam meneroka teknologi.
“Saya cuma seorang guru yang memberi peluang kepada murid untuk mencungkil bakat dan potensi mereka supaya mereka tahu mereka masih boleh mencapai sesuatu tanpa berputus asa,” katanya.
Bagi finalis wanita pertama RISE Educator Award, Veronica Francis, 42, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Bernadette’s Convent, Perak pula memberi ruang kepada murid berprestasi rendah melalui pembelajaran STEM dan inovasi berasaskan penyelesaian masalah sebenar.
“Murid daripada kelas pencapaian rendah ini akhirnya berjaya menghasilkan pelbagai inovasi berasaskan kelestarian alam termasuk sabun daripada kulit tembikai.
“Bagi saya, asas kepada penghasilan inovasi ini ialah bagaimana kita membantu murid mengenal pasti sesuatu isu dan kemudian mencari penyelesaiannya melalui pembelajaran di dalam kelas,” katanya.
Katanya, hampir separuh daripada 864 murid sekolah itu menyertai pertandingan antarabangsa pada 2026 manakala 90 projek inovasi meraih 52 pingat emas, 24 perak dan 13 gangsa.
Guru SK Desa Jaya, Pahang, Mohamad Safuan Rozak, 46, pula memanfaatkan minatnya dalam muzik dan kandungan digital dengan menghasilkan hampir 50 lagu parodi Sains sepanjang kira-kira 10 tahun.
Katanya, kandungannya meraih lebih empat juta tontonan di YouTube manakala pendekatan berkenaan membantu meningkatkan minat murid terhadap Sains dengan kadar lulus 100 peratus dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sejak 2022.
“Apabila saya sebarkan bahan yang dihasilkan, ia bukan lagi untuk murid saya sahaja, tetapi guru lain juga menggunakan bahan itu dalam pengajaran mereka dan itu menjadi motivasi untuk saya terus berkarya sehingga hari ini,” katanya.
Dr Zul Faizuddin Osman, 45, dari SK Sungai Rual, Jeli pula memperkenalkan School of NFT sejak 2021 bagi meningkatkan kemahiran digital murid Orang Asli Jahai.
Katanya, lima murid berjaya memperoleh insentif keseluruhan RM12,500 daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) manakala dua orang menjadi murid Orang Asli pertama dari sekolah itu sejak 1976 yang mendapat tempat di SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra.
“Daripada tidak tahu menggunakan peranti digital, hari ini mereka sudah berjaya menghasilkan karya digital dan semakin yakin menyertai pertandingan di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
