Al-Ain:Juara Liga Pro Arab Saudi, Al-Nassr mengalami kekalahan besar 0-4 di tangan Al-Ain di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekali gus menyaksikan Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukannya memulakan saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan langkah sumbang.
Houssine Rahimi menjaringkan dua gol untuk meletakkan bekas juara itu selesa mendahului perlawanan sebelum abangnya, Soufiane Rahimi meledak gol ketiga dan Giorgos Giakoumakis kemudian melengkapkan gol keempat pada minit ke-85.
“Kami tahu perlawanan ini bakal sukar, kami perlu memberikan segalanya dan saya rasa kami berjaya melakukannya,” kata Giakoumakis.
“Kami beraksi dengan matang dari minit pertama hingga terakhir dan kami berjaya menjaringkan jumlah gol yang baik serta meraih kemenangan yang meyakinkan.”
Al-Ain mendahului pada minit ke-25 apabila Houssine Rahimi memotong hantaran ke belakang Saad Al-Nasser yang kurang kencang sebelum menolak bola melalui celah kangkang Nawaf Al-Aqidi.
Dia kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-63 menerusi tolakan dari jarak lapan ela.
Soufiane Rahimi menambah gol ketiga apabila menyambut hantaran lolos Alejandro Romero dengan larian yang sempurna untuk mengelak perangkap ofsaid ebelum melepaskan rembatan padu ke sudut bawah gawang.
Giakoumakis meledak gol keempat selepas Soufiane Rahimi bertindak sebagai pengumpan dengan melorongkan bola ke laluan penyerang Greece itu dari jarak 15 ela untuk disempurnakan dengan tenang.
Dalam satu lagi perlawanan, Al-Hilal mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas kelab Qatar, Al-Gharafa, dalam aksi pembukaan fasa liga menerusi jaringan Ruben Neves dan Sergej Milinkovic-Savic di Riyadh selepas kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain.
Crysencio Summerville dilayangkan kad merah berikutan kekecohan pada minit ke-32 dengan Abdulrahman Al-Rashidi dan susulan pergelutan itu, pemain Al-Gharafa, Ismael Bennacer turut diarah keluar padang oleh pengadil Omar Al-Ali.
Juara empat kali dari Arab Saudi itu mendahului tiga minit memasuki masa kecederaan separuh masa pertama menerusi sepakan penalti Neves yang dihadiahkan selepas Al-Rashidi menjatuhkan pemain sayap, Saimon Bouabre di dalam kotak penalti.
Milinkovic-Savic menggandakan kelebihan Al-Hilal 17 minit sebelum perlawanan tamat apabila tandukannya terbias menewaskan penjaga gol Ahmed Kone.
Gol itu terbukti amat penting apabila Alaa Eddin Hasan merapatkan jurang buat pasukan pelawat menerusi rembatan jarak jauh pada masa kecederaan.
Lapan pasukan teratas daripada 16 pasukan dalam fasa liga yang dirombak ini bakal mara ke pusingan kalah mati pada Mac, manakala aksi suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir akan berlangsung di Arab Saudi pada April dan Mei.
© New Straits Times Press (M) Bhd
