Paris: Lazio dan Atletico Madrid dikenakan hukuman kerana kelakuan rasis penyokong mereka dalam pertandingan Eropah, kata UEFA pada Jumaat.
Badan induk bola sepak Eropah itu menyatakan bahawa dua sektor di stadium Lazio, Curva Nord (sektor 48 dan 49), akan ditutup untuk perlawanan seterusnya dalam Liga Europa di tempat sendiri, yang dijadualkan menentang Porto pada 7 November, selepas tindakan rasis beberapa penyokong mereka semasa kemenangan 4-1 menentang Nice minggu lalu.
Lazio juga didenda sebanyak 45,000 euro (RM235,000) kerana pelanggaran itu, yang turut disertai dengan penutupan sebahagian stadium untuk satu lagi perlawanan tambahan.
“Penutupan separa stadium itu ditangguhkan selama tempoh percubaan satu tahun,” kata UEFA.
Atletico pula didenda sebanyak 30,000 euro dengan hukuman larangan menjual tiket kepada penyokong luar mereka untuk satu perlawanan pertandingan UEFA yang turut digantung. Tempoh percubaan adalah selama satu tahun.
Penyokong Atletico menunjukkan kelakuan “rasis ataus diskriminasi” dalam kekalahan 4-0 pasukan itu dalam Liga Juara-Juara di Benfica minggu lalu.
Anderlecht juga dilarang daripada menjual tiket kepada penyokong luar mereka untuk perlawanan Liga Europa mereka di RFS, Latvia pada 7 November selepas UEFA memutuskan untuk menguatkuasakan undang-undang lebih ketat.
“Langkah disiplin yang ditangguhkan… pada 21 Oktober 2022 kerana menyalakan bunga api, membaling objek, kerosakan dan gangguan orang ramai,” kata UEFA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




