Lokasi penginapan England 'bocor'

Lokasi penginapan England 'bocor'

Mexico City: Skuad England menerima sambutan dingin daripada penyokong Mexico sebaik tiba di hotel penginapan mereka menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.

Anak buah Thomas Tuchel hanya dimaklumkan mengenai waktu sepak mula perlawanan di Stadium Azteca beberapa ketika sebelum berlepas dari Kansas City ke Mexico City.

Perlawanan terbabit akhirnya disahkan FIFA akan bermula pada jam 6 petang waktu tempatan atau 1 pagi waktu United Kingdom selepas timbul cadangan supaya ia diawalkan enam jam berikutan ramalan ribut petir.

Sebaik bas pasukan England tiba di hotel, pemain termasuk Harry Kane dan Jude Bellingham disambut dengan ejekan, siulan serta laungan “Mexico! Mexico!” daripada penyokong tuan rumah.

Pihak berkuasa turut memasang penghadang besi bagi memisahkan pemain England daripada kumpulan penyokong yang berhimpun di luar hotel.

Bagaimanapun, Tuchel dilihat tenang apabila sempat melambai ke arah penyokong sebelum memasuki hotel.

England sebelum ini dilaporkan mahu merahsiakan lokasi hotel penginapan mereka selepas Ecuador berdepan gangguan penyokong Mexico menjelang aksi pusingan 32 terbaik.

Pada malam sebelum perlawanan terbabit, penyokong Mexico dilaporkan menyalakan bunga api, memukul gendang dan membunyikan hon kenderaan di luar hotel Ecuador sehingga menyebabkan pasukan itu membuat aduan rasmi selepas tersingkir daripada kejohanan.

Namun, hasrat England untuk mengelak situasi sama tidak kesampaian apabila lokasi hotel mereka dilaporkan bocor.

Susulan itu, kawalan keselamatan diperketatkan dengan hotel berkenaan dikelilingi anggota polis, sekatan jalan raya serta barisan anggota keselamatan lengkap dengan topi keledar dan perisai sebagai langkah memastikan persiapan England tidak terganggu menjelang pertemuan menentang Mexico.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top