Munich: Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany kembali ke pusat latihan kelab itu minggu ini buat kali pertama sejak rebah ketika sesi latihan bulan lalu.
Bayern mengesahkan perkara itu pada Selasa, sekali gus memberi perkembangan positif mengenai keadaan jurulatih dari Belgium berkenaan yang sebelum ini dimasukkan ke hospital.
Kompany dibenarkan keluar dari hospital selepas mengalami kerengsaan meninges yang menyebabkannya rebah ketika sesi latihan membabitkan skuad kedua kelab itu.
Beliau sebelum kejadian berkenaan dilaporkan sedang dalam proses pemulihan daripada jangkitan virus.
“Kompany sedang dalam proses pemulihan dan sudah kembali ke pusat latihan. Ketua jurulatih itu juga sedang menjalani rehabilitasi bagi kecederaan bahunya di sana,” menurut kenyataan Bayern.
Bagaimanapun, Bayern tidak mengadakan sesi latihan penuh minggu ini berikutan kebanyakan pemain utama mereka berada bersama skuad kebangsaan masing-masing bagi tugasan antarabangsa.
Sepanjang ketiadaan Kompany, tugas mengendalikan pasukan dipikul penolong jurulatih, Aaron Danks yang membantu Bayern mencatat kemenangan ke atas Freiburg, Magdeburg, Atletico Madrid dan Mainz.
Bayern turut mencatat keputusan seri 2-2 menentang pencabar kejuaraan Bundesliga, Borussia Dortmund dalam tempoh berkenaan.
Pendahulu Bundesliga itu dijadual kembali beraksi di laman sendiri menentang FC Koln pada 20 November ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd