London: Legenda Tour de France, Mark Cavendish, akan kembali ke Paris tahun depan dengan menyarung kasut larian, bukannya kasut berbasikal, selepas mendaftar untuk menyertai Maraton Paris.
Cavendish, 39, yang tahun ini mencatat kemenangan peringkat ke-35 dalam Tour de France, dijangka bersara daripada sukan berbasikal profesional pada akhir tahun ini.
“Saya akan sentiasa berbasikal, tetapi sekarang saya mahu berlari,” kata Cavendish dari Britain dalam satu temu bual dengan Men’s Health.
“Saya sudah bersetuju untuk menyertai Maraton Paris bersama abang saya. Dia mula berbasikal sebelum saya, dan dia lebih baik daripada saya.
“Sejak empat tahun kebelakangan ini, dia mula mendapatkan kembali tahap kecergasannya. Dia berbasikal dan mula berlari. Untuk kali pertama sejak kami kecil, dia lebih ringan daripada saya,” katanya lagi.
Cavendish berkata dia belum “benar-benar komited” mengenai apa yang akan dilakukan selepas ini, tetapi akan memberi tumpuan untuk melengkapkan tahun ini dengan menyertai Tour of Saitama dan Singapore Criterium.
“Saya masih berlumba tahun ini kerana kontrak saya sehingga Disember. Apa yang pasti ialah saya tidak akan menyertai Tour de France lagi. Itu memang sudah pasti,” kata Cavendish, yang beraksi untuk pasukan Astana Qazaqstan.
Cavendish juga memberi bayangan kemungkinan terbabit dalam aspek pengurusan dalam sukan berbasikal.
“Saya akan sentiasa berbasikal, tetapi beberapa tahun kebelakangan ini saya tahu apa yang mahu saya lakukan selepas ini. Saya sudah memulakan langkah itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




