Persaingan BN dan PH pada PRN Johor cetus situasi unik politik negara

Persaingan BN dan PH pada PRN Johor cetus situasi unik politik negara

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Persaingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai situasi unik dalam landskap politik negara apabila kedua-dua parti yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan bakal bertembung sebagai seteru di peringkat negeri.

Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, kerjasama antara BN dan PH di Putrajaya tidak bermaksud kedua-dua parti perlu bergabung dalam setiap pilihan raya.

“Situasi ini sememangnya unik dalam politik Malaysia pasca-2022. Buat pertama kali, dua parti yang berkongsi kuasa di Putrajaya memilih untuk bersaing secara langsung di peringkat negeri.

“Dari sudut politik, ia menunjukkan bahawa kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan lebih bersifat perkongsian pentadbiran di peringkat Persekutuan, bukannya penyatuan politik yang menghapuskan identiti setiap parti,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, keadaan itu mungkin menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi atas pagar yang mempersoalkan mengapa parti yang bekerjasama di Putrajaya perlu bertanding sesama sendiri di Johor.

“Bagaimanapun, penyokong tegar kedua-dua parti lebih melihat PRN sebagai medan menentukan parti yang lebih layak mentadbir negeri, selain peluang mengukur kekuatan sebenar masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya.

Mengulas mengenai bahan kempen, Mujibu menjangkakan BN dan PH akan mengelakkan serangan yang boleh menggugat hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya memberi tumpuan kepada prestasi pentadbiran dan tawaran dasar.

“BN berkemungkinan menonjolkan rekod pentadbiran negeri, kestabilan politik, pengalaman mentadbir serta keupayaan menyelesaikan isu pembangunan dan pelaburan.

“PH pula dijangka memberi penekanan kepada reformasi tadbir urus, integriti, ketelusan, kebertanggungjawaban dan dasar yang lebih mesra rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kempen dijangka lebih tertumpu kepada persaingan dari segi prestasi dan tawaran kepada rakyat berbanding konflik ideologi atau serangan bersifat peribadi.

“Persaingan di Johor tidak semestinya menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan selagi kedua-dua pihak mampu membezakan antara persaingan pilihan raya dan tanggungjawab mentadbir negara.

“Serangan terhadap dasar atau prestasi adalah perkara biasa dalam demokrasi tetapi serangan yang menyentuh soal legitimasi, integriti institusi atau hubungan antara parti boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kepercayaan dalam kerajaan,” katanya.

Katanya, situasi lebih menarik ialah bagaimana kepimpinan pusat mengurus naratif itu. Jika disiplin parti dapat dikawal dan kempen kekal profesional, PRN Johor boleh menjadi bukti bahawa parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mampu bersaing secara sihat tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan pusat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top