am@hmetro.com.my
Bandar Baharu: Hujan lebat berterusan lebih dua jam hari ini menyebabkan 18 rumah di dua mukim di daerah ini terjejas akibat banjir.
Daripada jumlah itu, 14 rumah membabitkan Mukim Relau, manakala empat lagi di Mukim Serdang berdasarkan pemantauan dilakukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bandar Baharu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin, berkata berdasarkan laporan awal pemantauan setakat jam 9.10 malam, paras air Sungai Punti di Mukim Serdang sudah berada pada tahap bahaya, manakala Sungai Semambu di Mukim Relau berada pada paras waspada.
Katanya, kawasan yang dipantau di Mukim Serdang membabitkan Kampung Sungai Punti dan Kampung Batu 16 Lombong A, manakala di Mukim Relau meliputi Kampung Paya Semambu, Kampung Tengah Relau, Kampung Kilang Batu dan Kampung Padang.
“Pemantauan dilakukan susulan hujan melebihi dua jam di kebanyakan kawasan daerah itu.
“Seramai 10 anggota APM digerakkan bagi memantau kawasan berisiko banjir selain memeriksa paras air sungai utama.
“Anggota turut membantu memindahkan barangan penduduk yang terjejas ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan akibat kenaikan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rahim berkata, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa berikutan paras air Sungai Punti yang berada pada tahap bahaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd