Urus tadbir baik pemimpin bertanggungjawab adalah kunci kestabilan negara – PM

Urus tadbir baik pemimpin bertanggungjawab adalah kunci kestabilan negara – PM

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Urus tadbir yang baik oleh pemimpin bertanggungjawab adalah kunci kepada kestabilan politik sesebuah negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun beberapa tahun kebelakangan ini, negara berdepan dengan kemelut politik, namun selepas dua tahun, politik mula stabil.

Kata beliau, urus tadbir negara yang baik membolehkan kerajaan mampu membuat dan melaksanakan dasar yang jelas serta memberi manfaat kepada rakyat.

Mengambil contoh seperti Sabah, kata Anwar, walaupun negeri terbabit berdepan dengan pelbagai kemelut politik sejak beberapa tahun lalu, namun dengan pelaksanaan dasar yang baik, kestabilan politik dapat dicapai.

“Saya percaya, seperti apa yang dikatakan Hajiji (Datuk Seri Hajiji Noor) d imana kita ada polisi, sokongan yang jelas, komitmen yang jelas, keinginan untuk bekerjasama, saya telah lihat ini di Sabah.

“Tahniah untuk semua pasukan (Kerajaan Negeri Sabah, adanya kestabilan politik dalam negara dan kita bertuah. Sesetengah masalah memberi kesan kepada politik dan ekonomi secara tidak langsung juga kepada negeri lain termasuk Sabah.

“Kita bertuah selepas kemelut yang berlaku di arena politik (Malaysia), selepas dua tahun lepas kestabilan politik ditemui. Tapi saya sering persoalkan di mana kestabilan politik bukan jawapannya.

“Tetapi jawapannya ialah memiliki urus tadbir oleh pemimpin yang bertanggungjawab, membersihkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa.

“Dengan kestabilan politik itu, kita membuat dasar yang memberi manfaat kepada semua orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC 2024) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam pada itu, beliau berkata, dengan polisi jelas dan kestabilan politik, kerajaan mampu memulakan program dengan idea baharu yang memberi manfaat serta impak khususnya kepada ekonomi sesebuah negara atau negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top