UMNO, BN Negeri Sembilan tuntut penjelasan berhubung Sidang Khas DKU

UMNO, BN Negeri Sembilan tuntut penjelasan berhubung Sidang Khas DKU

farahmarshita@bh.com.my

Kuala Lumpur: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menuntut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi penjelasan sama ada Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang diadakan pada 17 April lalu mencapai keputusan kolektif.

Menerusi soalan yang dimuat naik di Facebook, UMNO dan BN Negeri Sembilan berpendapat bahawa terdapat lima perkara yang memerlukan penjelasan lanjut daripada Menteri Besar.

Katanya, sekiranya terdapat keputusan kolektif pada Sidang Khas DKU, di manakah minit mesyuarat, senarai kehadiran dan rekod sokongan rasmi.

“Jika DKU hanya badan penasihat dalam hal adat, atas kapasiti apakah kerajaan negeri membuat keputusan yang dilihat sebagai keputusan muktamad.

“Mengapa EXCO UMNO/ BN tidak dimaklumkan dalam perbincangan kerajaan negeri sebelum isu menjadi kritikal,” menurut soalan lazim berkenaan.

Tambahnya lagi, bagaimana kerajaan negeri mahu memulihkan keyakinan rakyat apabila kenyataan menteri besar sendiri dipertikai olej pihak adat yang terbabit.

Katanya, persoalan yang ditimbulkan bukan tuduhan muktamad.

“Ia adalah persoalan pentadbiran, ketelusan dan tertib perlembagaan yang wajar dijawab,” katanya.

Katanya, isu sebenar yang berlaku bukan perebutan jawatan Menteri Besar.

Katanya, isu sebenar ialah krisis membabitkan Institusi Adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan yang berkembang menjadi krisis keyakinan terhadap cara Menteri Besar mengurus perkara berkenaan.

“UMNO/BN berpendapat bahawa isu adat sepatutnya diurus dengan penuh tertib, bijaksana dan berhati-hati.

“Lebih mengecewakan apabila pihak adat turut tidak hadir ke pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memberi gambaran bahawa situasi menjadi amat kritikal,” katanya.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi, diikuti BN 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) hanya memperoleh lima daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.

Pentadbiran Negeri Sembilan yang kini diterajui Aminuddin dengan komposisi kerusi yang stabil hasil gabungan PH dan BN pada PRN lalu.

Sebelum ini, krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak pada 19 April lalu mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong.

Pada keesokannya, Aminuddin menegaskan tindakan memecat Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf kerana individu yang membuat pengisytiharan tiada kuasa sah sebagai Undang.

Berikutan krisis itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lalu terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan, walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan sudah disempurnakan Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.

Susulan penarikan sokongan ADUN UMNO itu, PN Negeri Sembilan dalam sidang media selepas itu menyatakan sokongan terhadap tindakan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top