Jakarta: Seorang jemaah haji berusia 90 tahun, Sarmi Subari Rasyid, berasal dari Madiun, Jawa Timur, dilaporkan bakal menunaikan ibadah haji tahun ini, melalui pusat pelepasan Surabaya, lapor Kompas.
Menurut portal sama, dia tidak bersendirian kerana ditemani anak keenamnya, Ninik Hariningsih, 48.
Suaminya pula sudah meninggal dunia.
Difahamkan, walaupun hampir mencecah satu abad, Sarmi masih kelihatan sihat dan mampu berkomunikasi dengan baik.
Apabila ditanya mengenai rahsia kesihatan, dia berkata, tidak mempunyai resipi khusus tetapi gemar meminum kopi.
“Saya tak ada apa-apa, cuma minum kopi, kalau tak minum kopi (saya) pening. Semua kopi saya minum,” katanya.
Dalam pada itu, Sarmi juga seorang warga emas yang tidak gemar duduk diam dan aktif apabila berada di rumah.
Dia banyak menghabiskan masa dengan berkebun menanam sayur dan memerhati perkembangan benih tanaman.
Namun, bagi kerja menuai pula, dia akan dibantu oleh orang lain.
Sementara itu, anaknya, Wiwik berkata, Sarmi masih kuat berjalan tetapi menggunakan kerusi roda ketika tiba di Asrama Haji di pusat pelepasan Surabaya.
Wiwik berkata, Sarmi mendaftar haji sejak lima tahun lalu dan kosnya ditanggung sendiri menggunakan simpanan serta wang pencen.
Sarmi yang lahir sebelum kemerdekaan Indonesia juga adalah saksi hidup sejarah kemerdekaan negara itu.
Suaminya pula adalah bekas anggota Angkatan Bersenjata Republik Indonesia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




