am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Sebanyak 85 peratus rakyat tidak terkesan dengan cadangan penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pertengahan 2025.
Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan cadangan itu kerana mereka kekal menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM2.05 seliter.
Katanya, penyasaran berkenaan lebih tertumpu kepada usaha untuk menghentikan 40 peratus bahan api bersubsidi itu yang dinikmati golongan T15 dan warga asing.
“Petrol (RON95) di Malaysia adalah yang paling murah, berbanding dengan Singapura, Thailand Indonesia, Filipina dan Arab Saudi.
“Di Arab Saudi harga seliter adalah RM2.65, berbanding Malaysia RM2.05.
“Sekarang kita bantu dengan subsidi, berapa subsidi? Satu tahun kalau kita tak tukar RM20 bilion. Subsidi ini maknanya apa? Kerajaan bantu supaya harga tidak naik.
“Sepatutnya kepada siapa? Kepada rakyat susah, tapi sekarang ini subsidi petrol ini termasuk kepada warga asing, yang tiada kad pengenalan pun kita bantu (subsidi), orang kaya rumah banglo lima buah, untung RM10 juta tapi subsidi petrol kita bagi.
“Jadi, golongan T15 yang paling kaya, campur dengan orang asing, mereka ini menggunakan 40 peratus petrol bersubsidi bernilai RM8 bilion setahun,” katanya ketika merasmikan Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah, di Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Sabah adalah lokasi terakhir penganjuran Program Madani Rakyat 2024 selepas Zon Tengah di Selangor, Zon Utara di Pulau Pinang, Zon Timur di Pahang, Zon Selatan di Johor dan Zon Sarawak.
Anwar menyifatkan 40 peratus RON95 digunakan golongan kaya dan warga asing menunjukkan kerajaan bermurah hati dengan luar biasa.
“Istilah lainnya ialah kerajaan kurang cerdik. Sebab itu kita kena fikir bagaimana untuk ubah, ubah kepada siapa?
“Tidak kepada rakyat biasa, jadi jangan bimbang 85 peratus rakyat kekal, maknanya sebahagian besar rakyat masih menikmati harga RM2.05 seliter, yang kaya bayarlah lebih sikit ikut harga pasaran,” katanya.
Beliau turut membidas pihak tertentu yang mempersoalkan penyasaran subsidi itu yang seolah menyokong agar warga asing dan golongan paling kaya terus menikmati subsidi kerajaan.
“Kalau kamu wakil rakyat Malaysia, kamu harus sokong usaha untuk tidak membebankan rakyat, tapi kutip harga yang berpatutan dari orang kaya supaya jumlah itu boleh diberikan kepada rakyat,” katanya.
Sempena program itu, Anwar turut melancarkan inisiatif baharu kerajaan melalui KPDN, Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Gempur).
Inisiatif yang dilaksanakan KPDN itu adalah langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang membabitkan barang kawalan dan bersubsidi.
Ia termasuk mengekang penipuan dalam talian, membanteras monopoli bermasalah dan kewujudan kartel dalam bentuk pakatan harga, pasaran, pengeluaran dan tipuan bida.
© New Straits Times Press (M) Bhd




