Jangan salah guna Dana RM20 juta untuk e-Sukan – Simon

Jangan salah guna Dana RM20 juta untuk e-Sukan – Simon

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengasas bersama Selangor Red Giants (SRG), Simon Lim berharap peruntukan sebanyak RM20 juta yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 untuk e-sukan dapat digunakan sebaik mungkin.

Jelasnya dengan dana itu, pihak ditugaskan perlu bergerak secara aktif mewujudkan lebih banyak program pembangunan kerana perkara ini amat penting dalam usaha memastikan kesinambungan berterusan untuk jangka masa panjang.

“Dana yang diberikan oleh kerajaan ini sangat baik dan saya sangat gembira. Ini adalah sesuatu yang sangat baik bagi komuniti e-sukan di Malaysia.

“Saya juga berharap pihak yang sepatutnya dapat bergerak secara sistematik selain program akar umbi juga patut diberikan perhatian.

“Kita tidak boleh hanya memberi perhatian kepada pemain profesional sahaja kerana pemain bawah juga perlukan perhatian untuk mereka mendapatkan platform yang sepatutnya,” katanya.

Selain itu, Simon juga berharap pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mewujudkan satu stadium khusus buat komuniti e-sukan kerana perkara itu akan membantu perkembangan industri berkenaan menjadi lebih baik selepas ini.

Untuk rekod, SRG berjaya bergelar juara dunia yang pertama dari Malaysia selepas tujuh tahun di Kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Arab Saudi baru-baru ini dan mereka membawa pulang membawa pulang trofi kejuaraan serta hadiah wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.6 juta).

Ketika ini, mereka dalam misi untuk memburu kejuaraan kali kedua berturut-turut bagi saingan Liga Profesional Malaysia (MPLMY) musim ke-14 MLBB dan melayakkan diri ke Kejohanan Dunia MLBB (M6) pada November depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top