Siti Nurhaliza menangis tonton dokumentari Rossa

Siti Nurhaliza menangis tonton dokumentari Rossa

Kuala Lumpur: Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza menitiskan air mata ketika menonton filem dokumentari perjalanan 25 tahun penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa berjudul All Access to Rossa 25 Shining Years.

Momen itu sempat dirakam pasukan produksi ketika penyanyi nombor satu negara itu hadir ke tayangan perdana filem terbabit di Ibu Kota baru-baru ini.

Siti ketika dalam satu temu bual berkata, dia mengaku perjalanan Rossa dalam dunia seni amat mencabar.

“Ada semuanya dalam kehidupan dia termasuk kisah rumah tangga, kejayaan serta bukan mudah untuk menjadi seorang legenda. Semua ini kita dapat lihat dalam filem dokumentari ini.

“Perjuangannya saya rasa belum berakhir lagi. Saya harap dia teruskan macam mana yang kita harapkan.Semoga Rossa terus berkarya dan menghiburkan semua peminat-peminatnya,” katanya.

Dalam masa sama, Siti berharap Rossa akan terus berkarya dalam tempoh jangka masa yang panjang.

“Mungkin 50 tahun lagi. Rossa anda adalah insan yang terbaik. Beliau dilahirkan sebagai anak seni yang menghiburkan dan selalu menggembirakan hati orang lain.

“Ia bukan satu perkara yang mudah, tapi Allah bagi kelihatan itu kepada dia.” katanya.

Filem dokumentari All Access to Rossa 25 Shining Years yang kini ditayangkan di pawagam sejak 18 Oktober lalu, dapat menjadi inspirasi kepada penonton terutama wanita untuk terus berusaha agar impian mereka menjadi kenyataan.

Filem dokumentari yang dihasilkan sempena ulang tahun ke-25 kerjaya seni pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani itu, mengisahkan perjalanan hidup dan kejayaannya sepanjang karier dalam industri muzik.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top