Pergaduhan di Air Itam, 10 lagi suspek ditahan

audreymd@nst.com.my

Georgetown: Polis menahan 10 lagi lelaki berhubung insiden pergaduhan bersenjata di Air Itam di sini, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 23 orang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim berkata, tangkapan terbaharu babitkan suspek berusia 19 hingga 56 tahun dibuat susulan siri serbuan di Pulau Pinang dan Selangor bermula 30 Ogos hingga 4 September lalu.

Kejadian pada 29 Ogos itu berlaku pada 2.45 pagi di hadapan SJK(C) Kong Min di Air Itam membabitkan tiga lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Dua mangsa diserang dengan senjata manakala seorang lagi dirempuh sebuah kereta, dengan siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung hutang selepas beberapa individu bertemu di sebuah medan selera di Paya Terubong.

Mengulas lanjut, Lim berkata, tangkapan terbaharu itu rentetan penahanan 13 suspek termasuk tiga remaja bawah umur.

Katanya, dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 148, 326 dan 120B Kanun Keseksaan, manakala satu lagi kes disiasat di bawah Seksyen 307, 148 dan 120B kanun.

“Polis akan melengkapkan kedua-dua kertas siasatan sebelum merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” tambahnya.

Lim berkata, polis akan mempertingkatkan pengumpulan maklumat risikan, rondaan, pemantauan serta operasi bersasar bagi membendung kes pergaduhan kumpulan dan jenayah kekerasan.

Beliau menasihati orang ramai tidak bertindak sendiri atau menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan sebarang perselisihan faham.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top