Anggota kumpulan The Gadys, Thamiera Chan diumumkan sebagai pasangan baharu Didi Astillah dalam program Famili Duo 4 (FD4) di TV3 yang mula bersiaran malam ini.
Thamiera diumumkan sebagai pasangan Didi susulan penarikan diri penyanyi Yazmin Aziz.
Terdahulu, Yazmin diumumkan sebagai pasangan sepupu Didi dan menjadi peserta Famili Duo 4 dalam majlis sidang media yang berlangsung pada 13 Oktober lalu.
Di minggu pertama, Thamiera dan Didi menyanyikan lagu Kalis Rindu (Elyana) dan Makhluk Tuhan Paling Seksi (Mulan Jameela).
Famili Duo 4 dikemudikan oleh gandingan selebriti serba boleh iaitu Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos program manakala kerusi juri pula diduduki oleh figura hebat, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.
Enam pasangan yang bersaing dalam Famili Duo 4 adalah Shiha Zikir & Ieda Zikir (adik-beradik), Zahid & Anne (adik-beradik), Ayie Elham Floor 88 & Salma Asis (sepupu), Tomok & Sharul Kamal (sepupu), Didi Astillah & Thamiera Chan (sepupu) dan Naqiu & pasangan yang belum diumumkan (sepupu).
Mereka bersaing selama lapan minggu bagi merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000.
Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus).
Jangan lupa saksikan Famili Duo 4 yang bersiaran selama lapan episod bermula 20 Oktober 2024, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan boleh distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.




