Nahas Long Lellang: KKM semak semula kontrak Perkhidmatan Doktor Udara

am@hmetro.com.my

Georgetown: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai semula semua kontrak berkaitan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) termasuk penggunaan perkhidmatan helikopter, susulan nahas maut di Long Lellang, Sarawak, Selasa lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Mahathar Abd Wahab berkata, semakan itu dibuat selaras arahan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad susulan nahas yang mengorbankan lima individu termasuk empat kakitangan KKM dan seorang juruterbang.

“Sebagaimana yang kita sebutkan dalam sidang media oleh menteri, kita akan menilai semula semua kontrak yang berkaitan dengannya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Trauma Malaysia (MTC) 2026, di sini, hari ini.

Dr Mahathar berkata, kontrak berkaitan penggunaan helikopter turut termasuk dalam penilaian berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas dakwaan bahawa helikopter terbabit sudah lama digunakan dan berkata perkara itu berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang sedang menjalankan siasatan.

Beliau turut mengesahkan bayaran elaun RM30 kepada petugas FDS dibuat bagi setiap perjalanan dan perkara itu juga akan dinilai semula dalam semakan berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan KKM memutuskan semua operasi FDS ditangguhkan sementara bagi membolehkan siasatan dan semakan terhadap mekanisme keselamatan serta operasi oleh pihak berkaitan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, perkhidmatan Pemindahan Perubatan (MEDEVAC) bagi kes kecemasan bagaimanapun akan diteruskan menerusi kerjasama KKM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pada masa sama, beliau berkata, KKM akan mengadakan perbincangan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka penggunaan aset ATM untuk membantu memindahkan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dipindahkan ke fasiliti kesihatan bersesuaian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top